Faizal Tahir Bakal Jayakan Konsert Orkestra Filharmonik Malaysia Musim Ke-18

Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra – MPO) dengan bangganya melangkah ke musim konsert ke18 pada bulan Ogos ini dengan menjanjikan muzik ekstravaganza melalui persembahan karya-karya agung dan variasi genre muzik oleh artis-artis terkemuka.

Masih hangat dengan kejayaan konsert ‘tribute’ untuk kumpulan Led Zeppelin pada musim yang lalu, MPO kembali menggegarkan dengan sebuah lagi konsert ‘tribute’; kali ini untuk kumpulan rock dari Britain, Queen, pada Ogos 2015. Ia adalah sebuah kumpulan yang telah mampu bertahan selama 45 tahun.

Untuk julung kalinya, MPO akan berkongsi pentas dengan National Symphony Orchestra (NSO) juga pada Ogos 2015. Konsert yang bakal dipimpin oleh Mustafa Fuzer Nawi (NSO) dan Ciaran McAuley (MPO) bakal menjanjikan kolaborasi menarik dari dua orkestra terbaik negara.

Faizal tahir DFP_RESIZE

Antara tarikan utama musim konsert kali ini ialah persembahan spektakular berinspirasikan sarkas oleh MPO yang bertemakan Cirque de la Symphonie pada Ogos 2015 yang menampilkan persembahan artis-artis hebat dan koreografi professional mengiringi muzik klasikal dan moden.

Jangan ketinggalan menyaksikan Ballet Festival pada Januari 2016 menampilkan Stars of the Moscow Ballet. Penari-penari hebat itu akan mengiringi karya-karya agung sepeti Romeo & Juliet (ciptaan Prokofiev) dan Giselle (ciptaan Adam). Sebelum ini, kumpulan ini pernah mengagumkan khalayak di DFP pada tahun 2013 dengan tarian yang menakjubkan.

Januari 2016 juga akan menyaksikan MPO merayakan aniversari Beethoven yang ke 260 tahun melalui kolaborasi dengan Aga Mikolaj (soprano), Jennifer Johnston (mezzo-soprano), Benjamin Hulett (tenor) dan Paulo Szot (baritone).

MPO terus menghidangkan variasi konsert-konsert inovatif bertemakan ‘Pops’ sepanjang musim baru ini. Salah satunya ialah persembahan runut bunyi mengiringi tayangan penuh filem Disney Pixar’s Ratatouille, yang pernah memenangi Anugerah Oscar, pada Mac 2016. Sebuah lagi persembahan menarik dalam siri ini ialah konsert bertemakan Star Wars And Beyond pada Disember 2015.

DSC00181_RESIZE

MPO bakal meneruskan legasi muzik pop tempatan melalui kolaborasi bersama artis tempatan; kali ini bersama penyanyi Zainal Abidin pada Mei 2016. Konsert ini bakal membawa peminat menyusuri perjalanan seni beliau selama 35 tahun melalui lagu-lagu popular yang diberi interpretasi baru oleh MPO.

Pemain saksofon superstar Branford Marsalis bakal berkolaborasi sekali lagi dengan MPO dalam konsert akhir musim ini pada Jun 2016. Kali terakhir mereka beraksi bersama ialah pada tahun 2006 yang mendapat pujian ramai.

Musim konsert ini bakal menyaksikan persembahan pertama MPO bersama artis-artis klasikal tersohor seperti pemain violin Augustin Hadelich, pemain piano Conrad Tao, pemain trumpet Pacho Flores dan konduktor Neeme Järvi, Roberto Abbado, Giancarlo Guerrero dan Federico Cortese.

Dalam pada itu, konduktor-konduktor ternama seperti Arnie Roth, Kazuyoshi Akiyama, Carlos Kalmar and pemenang anugerah Grammy Fabio Luisi, pemain organ Wayne Marshall, pemain cello Daniel Müller-Schott, pemain-pemain piano Beatrica Rana, Tengku Irfan dan Jean-Yves Thibaudet, akan kembali ke pentas DFP untuk mempersonakan penonton dengan bakat seni unggul mereka.

Pada musim ini, DFP akan berkerjasama dengan Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) mempersembahkan sebuah konsert tradisional bertemakan Selasihku Sayang pada September 2015. Konsert ini bakal menampilkan artis-artis generasi lama dan baru dalam genre muzik asli seperti Dato’ Andre Goh, Aspalela Abdullah, Asmidar Ahmad dan Dayang Nurfaizah.

Dikenali dengan persembahan yang cukup bertenaga, penyanyi tempatan Faizal Tahir bakal menghiburkan peminat-peminat dalam sebuah konsert pada November 2015. Merupakan salah seorang artis muda yang berjaya, beliau telah menggondol banyak anugerah di majlis-majlis anugerah berprestij dan mempunyai senarai lagu-lagu hits.

Turut tersenarai ialah konsert dari pemenang Grammy, penyanyi jazz dan pemain piano Diana Krall pada Februari 2016. Bakat beliau yang unik melangkaui semua genre muzik. Konsert ini merupakan sebahagian dari siri jelajah Wallflower World Tour untuk mempromosikan album terbaru beliau.

Pada musim konsert ini, kami mengalu-alukan InterContinental Kuala Lumpur dan Wardrobe (Master Craftmanship Tailoring) sebagai rakan penaja kami.

Pelancaran pakej konsert untuk pelanggan tetap DFP/MPO ialah pada Sabtu, 27 Jun 2015. Penjualan tiket ‘single’ akan bermula pada Sabtu, 11 Julai 2015.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Box Office di talian 03-23317007 atau faks 03-23317077 atau email dfp_boxoffice@petronas.com.my. Sila dapatkan brosur musim konsert terbaru kami di Box Office atau layari laman web www.mpo.com.my untuk memuat-turun brosur.

Branford Marsalis1_RESIZE

Branford Marsalis1

NSO - Mustafa Fuzer Nawi_RESIZE

Mustafa Fuzer Nawi

 

Jennifer Johnston 2

 

140608_DianaKrall_I_0054_D_COLOR

P1140599_resize

Author: 
Budiey
Akhbar: 
Budiey.com
Publish date: 
Friday, June 19, 2015