FACE 2015: Perkongsian budaya negara Asean

unnamed

FACE 2015 juga merupakan salah satu inisiatif meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat umum terhadap keunikan seni budaya Asean. Foto TRP/ Wan Kah Hoong

 

KUALA LUMPUR, 30 September:

Kuala Lumpur akan menjadi lokasi utama bagi penganjuran Festival Of Asean Cultural Expressions 2015 (FACE 2015) yang bakal berlangsung pada 15 hingga 20 Oktober 2015 di Centre Court, Nu Sentral Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohamad Razy Mohamad Nor berkata, pelaksanaan festival ini adalah untuk memperkenalkan seni budaya ASEAN kepada dunia di samping mengetengahkan bakat golongan belia di dalam seni dan mewujudkan hubungan persahabatan antara peserta Asean.

“Program ini akan berlangsung selama enam hari dengan penglibatan negara Asean seperti Brunei, Kemboja, Filipina, Indonesia, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

“Seramai 84 orang peserta Asean termasuk Malaysia akan terlibat dalam festival ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengurus Sekretariat Tahun Melawat Malaysia, Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail Al Jaffree dan Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKKN, Rodzuan Ismail.

Mohamad Razy berkata, FACE 2015 juga merupakan salah satu inisiatif meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat umum terhadap keunikan seni budaya Asean dalam memperkasakan warisan serantau itu kepada masyarakat terutamanya golongan belia.

“Konsep perkampungan Asean itu juga akan mempersembahkan tiga bidang iaitu seni persembahan, permainan tradisional dan seni visual serta kraftangan.

“Pengunjung yang hadir juga dapat merasai sendiri pengalaman mempelajari pelbagai jenis tarian dan lain-lain,” katanya.

Tambahnya, JKKN juga menjemput semua lapisan masyarakat menyertai video teaser FACE 2015 untuk mempromosikan festival itu dengan memuat naik video rakaman aksi sendiri atau berkaitan promosi di laman Facebook: Festival of Asean Cultural Expressions 2015.

“1,000 peserta bertuah akan menerima produk PIXY dan kami menjangkakan kehadiran lebih 20,000 pengunjung akan hadir,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/sosial/2015/09/30/face-2015-perkongsian-budaya-negara-asean/#ixzz3ohHyZiD5

Akhbar: 
The Rakyat Post
Publish date: 
Wednesday, September 30, 2015
Kemas kini terakhir: 17 July 2019, 05:20pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN