Dreamgirls versi Malaysia

THE Dreams dibarisi oleh (dari kiri) Joy Shavini, Cheryl Samad dan Ruzana Ibrahim.


APABILA memperkatakan tentang Dreamgirls, pasti ramai yang teringat akan kehebatan filem muzikal yang pernah ditayangkan di pawagam sekitar tahun 2006.

 

Filem arahan Bill Condon itu membariskan pelakon popular seperti Beyonce Knowles, Jennifer Hudson, Jamie Foxx, Eddie Murphy dan Anika Noni Rose.

 

Barangkali ada yang terlupa, sebenarnya Dreamgirls versi filem itu merupakan kisah yang diadaptasi daripada teater muzikal Broadway.

 

Mula dipentaskan di Imperial Theater, Broadway, New York, Amerika Syarikat pada tahun 1981, Dreamgirls dengan pantas meraih populariti yang cukup meluas.

 

Dibintangi oleh bintang terkenal dan hebat ketika itu terutama Jennifer Holliday sebagai Effie White, Dreamgirls dipentaskan di Broadway selama empat tahun.

 

Kehebatan pementasan itu telah membuahkan hasil apabila dicalonkan untuk 13 kategori dalam Anugerah Tony pada tahun 1982 dan memenangi enam kategori termasuk Muzikal Terbaik.

 

Kini, peminat Dreamgirls berpeluang menonton persembahan hebat ini apabila ia akan dipentaskan selama 11 hari di pentas bertaraf dunia, Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bermula 14 Julai depan.

 

Sesungguhnya keberanian penerbitnya, Broadway Academy membawa karya agung ini ke Malaysia wajar dipuji kerana pastinya ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.

 

Apatah lagi, Dreamgirls akan memperlihatkan bakat-bakat tempatan dalam membawakan watak-watak ikonik pementasan yang cukup diminati ramai ini.

 

Sebetulnya, ini bukanlah kali pertama Broadway Academy membawa pementasan Broadway ke negara ini dengan dibarisi pelakon tempatan kerana sebelum ini, mereka pernah mementaskan SHOUT! The Mod Musical tahun lalu.

 

Penerbit dan Pengarah Broadway Academy, Casey Koh berkata, memang pihaknya sudah lama berhasrat untuk membawa Dreamgirls ke negara ini.

 

Malah, dia sendiri telah berkunjung ke New York dan bertemu dengan pihak di sana untuk mendapatkan hak pementasan Dreamgirls di negara ini.

 

"Namun, apa yang penting buat kami adalah untuk memberikan peluang kepada rakyat tempatan bagi menyaksikan persembahan yang saya sifatkan sebagai cukup hebat ini.

 

"Kami telah berusaha bagi memastikan Dreamgirls akan berjalan dengan baik dan memberikan kepuasan maksimum kepada audiens serta peminat.

 

"Atas alasan itu jugalah, kami telah memilih barisan pelakon terbaik yang kami percaya mampu menghidupkan watak masing-masing selain mahu menonjolkan bakat mereka yang barangkali tidak diketahui ramai sebelum ini," ujarnya bersungguh.

 

Casey berkata demikian pada sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli serta Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani.

 

Dalam majlis itu, pengumuman pengarah dan barisan pelakon juga telah dilakukan apabila Joanna Bassey akan mengarahkan teater muzikal itu.

 

Sementara itu, kumpulan The Dreamettes dan The Dreams untuk pementasan ini akan ditunjangi oleh pengacara dan pelakon popular, Cheryl Samad sebagai Deena Jones, Azura Zainal (Lorell Robinson), Elvira Arul (Effie White) dan Ruzana Ibrahim (Michelle Morris).

 

Pelakon lain termasuklah Tony Eusoff sebagai Curtis Taylor Jr., Dafi (CC White) dan Indi Nadarajah (Marty) serta Dina Nadzir dan Joy Shavini yang diumumkan sebagai pelakon gantian untuk watak Effie White dan Lorell Robinson.

 

Hanya watak James "Thunder" Early sahaja yang masih lagi dirahsiakan kerana dikhabarkan, seorang pelakon yang memiliki nama besar akan membawakan watak itu.

 

Dalam masa yang sama, Casey melahirkan rasa gembiranya apabila hasratnya untuk mementaskan Dreamgirls mendapat sokongan sepenuhnya daripada pihak JKKN.

 

"Saya telah menyediakan jentera dan pasukan yang terbaik kerana mahu memastikan Dreamgirls akan mencipta satu fenomena baru di negara ini.

 

"Saya amat puas hati apabila mendapat nama-nama besar untuk memastikan kelancaran pementasan ini kelak," kata Casey lagi yang tidak menafikan penyanyi terkenal seperti Ning Baizura, Nurul Wahab dan Jaclyn Victor turut hadir untuk uji bakat.

 

Dalam masa yang sama, Casey juga mengumumkan Dreamgirls akan mengadakan persembahan jelajah di Asia Tenggara pada penghujung tahun ini dan awal tahun depan.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Monday, May 9, 2011