Dondang Sayang terus berdendang

Semakin lama, semakin ramai generasi baru yang lupa dan meminggirkan seni budaya tradisional.

Bagaimanapun dengan adanya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), seni warisan negara sama ada teater mahupun tarian tradisional terus dipertahan dan dipelihara supaya tidak terpinggir oleh arus pembangunan.

Sebagai pemegang amanah, JKKN menyusun pelbagai agenda setiap tahun bagi memperkenal seni teater dan tarian kepada generasi muda sekali gus mempertahankannya daripada pupus.

Justeru, bulan ini JKKN akan membawakan persembahan Dondang Sayang dalam siri Panggung Seni Tradisional 2015 yang akan berlangsung selama dua hari bermula malam ini dan Sabtu di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagi pencinta seni tradisional, Dondang Sayang dikenali sebagai salah satu seni persembahan yang mengandungi unsur muzik dan nyanyian tradisional Melayu berbentuk pantun yang terkenal bagi masyarakat Melaka.

Kini pelancong tempatan serta asing yang berkunjung ke Kuala Lumpur berpeluang menyaksikan persembahan yang julung kali dibawakan khas oleh Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Menariknya persembahan ini akan menampilkan tiga Generasi Dondang Sayang iaitu Tokoh Dondang Sayang Melaka Pak Abas Katan dan Halimah Daud, Generasi Muda Cik Siti Halijah Dollah dan penyanyi Dondang Sayang Cilik, Afis dan Bihah iaitu antara mereka yang terbabit dalam program Perantisan yang diselaraskan JKKN Melaka.

Dondang Sayang yang kebiasaannya dipersembahkan di Melaka kini dibawa ke Kuala Lumpur bagi penyemarakan dan terus memulihara seni persembahan tradisional ini de­ngan lebih meluas.

Keunikan Dondang Sayang ialah nyanyian yang disampaikan di mana bait-bait pantun berkait dan berikat serta diiringi dengan secara langsung alunan muzik tradisional yang jarang sekali kita dapat lihat.

Sudah tentunya persembahan yang dibuat nanti dapat membuka mata dan memberi pendedahan kepada peminat berkenaan apa sebenarnya Dondang Sayang dan peranannya dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara kita sejak dahulu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 11:53 AM

PERSEMBAHAN Dondang Sayang semasa sidang media Panggung Seni Tradisional di Auditorium JKKN, Kuala Lumpur.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39656#sthash.vezWmWCE.dpuf

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, March 27, 2015