DFP bergema lagu Melayu asli

Mereka penyanyi bertuah yang terpilih melantunkan kemerduan suara di pentas eksklusif Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC.

Menerusi Konsert Selasihku Sayang yang berlangsung baru-baru ini, Dayang Nurfaizah, Datuk Ahmad Nawab, Aspalela Abdullah, Datuk Andre Goh, Haziq Rosebi dan Asmidar menampilkan persembahan menarik dan penuh bermakna buat penonton yang hadir.

Barisan penyanyi ternama ini turut dibantu juara Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan yang mempunyai vokal memukau dan mengasyikkan iaitu Edie Nazrin Hamzah, Sabihah Abdul Wahid, Azzizul Haqim Mohd Anuar, Hasraniza Dollah, Zaharmizuan Azlan, Nor Azmira Rahim, Fitri Hiswady Hasan Nordin dan Nurul Syafiqah.

Bait indan dan alunan merdu lagu Melayu asli yang memukau bergema memecah suasana DFP. Susunan setiap lagu mempunyai pengertian tersendiri dan mampu membuai emosi pendengar.

Konsert anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini menampilkan Orkestra Kuala Lumpur DBKL pimpinan Datuk Dr Johari Salleh.

Gandingan penyanyi lama dan baru dalam usaha memartabatkan irama itu ke tempat sewajarnya ternyata menjadi.

Persembahan dibuka dengan medley instrumental Rentak 106, Gambus Jodoh dan Inang Mak Enon serta medley Empat Dara dan Manira.

Pentas semakin hangat apabila Asmidar mengalunkan lagu Embun Menitik diikuti Gurindam Jiwa (Asmidar & Edie Nazrin), Bisikan Hati (Nor Azmira), Pasir Roboh (Edie Nazrin) dan Sri Banang (Zaharmirzuan).

Persembahan diteruskan dengan lagu Hari Ribut dan Songkok Mereng oleh Azzizul, Fitri serta Zaharmirzuan. Penonton kemudian dihiburkan dengan lagu Damak (Aspalela), Sri Kedah (Azzizul), Zapin Bunga Hutan (Hasraniza), Jalinan Kasih (Fitri) dan Penawar Rindu (Sabihah).

Penonton teruja melihat barisan penyanyi muda mampu me­nguasai lagu Melayu asli dengan baik.

Lebih me­ngagumkan apabila penyanyi senior seperti Andre dan Aspalela memberikan persembahan terbaik dan mantap.

Haziq dan Asmidar pula sememangnya mempunyai kualiti vokal membanggakan, manakala Dayang pula membuktikan dia penyanyi yang versatil.

Membuka tirai sesi kedua selepas persembahan berehat selama 20 minit, penonton dihiburkan dengan medley instrumental Tari Tualang Tiga dan Joget Hitam Manis oleh Johari Salleh.

Lagu lain yang ditampilkan ialah Bunga Tanjung (Ahmad Nawab), medley Keroncong Kuala Lumpur dan Patah Hati (Dayang Nurfaizah), medley Nadaku Sayang serta Air Mata Hati (Nurul Syafiqah), medley Mas Merah dan Joget Jambu Merah (Andre Goh), medley Sri Mersing dan Zapin Raub (Haziq) serta Selasihku Sayang (Dayang Nurfaizah dan Haziq).

Persembahan diakhiri dengan persembahan semua artis menerusi lagu Joget Malaysia sekaligus melengkapkan senarai 21 lagu.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli ketika ditemui mengaku berpuas hati dan bangga dengan persembahan artis serta pemuzik.

“Kita wajar berbangga dengan lagu Melayu asli yang menjadi warisan sebagaimana orang Itali berbangga dengan opera klasikal mereka. Lagu asli sememangnya memukau dan wajar di persembahkan di tempat berprestij seperti DFP.

“Diharap semua artis kita menjadikan lagu Melayu asli sebagai identiti atau lagu wajib dalam persembahan mereka. Sekurang-kurangnya ia dapat membuktikan mereka penyanyi yang versatil,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 5:02 AM

GANDINGAN Dayang Nurfaizah dan Haziq.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80826#sthash.xnKcuGMk.dpuf

Author: 
Ridzuan Abdul Rahman
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Tuesday, September 29, 2015