Dewa Satria Lestari tutup tirai 2015

 

Pementasan teater Dewa Satria Lestari yang berakhir malam ini menutup tirai program Siri Semarak Bangsawan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sepanjang tahun ini.

Teater bangsawan yang berkisar pada nilai-nilai murni dan jerit perih seorang anak demi keluarga tersayang itu berjaya menarik penonton dengan elemen-elemen konflik, tragedi, drama dan humor.

Pengarah teater berkenaan, Adira Wahinnur berkata pementasan teater bangsawan tersebut menampil kelainan dengan menggabungkan teknik-teknik fantasi dan realiti ke dalam penceritaan.

"Selain itu, teknik prolog iaitu pembukaan jalan cerita juga diadaptasikan pada awal pementasan teater di mana ia tidak pernah dilakukan di dalam mana-mana pementasan teater lain," katanya ketika ditemui selepas pementasan teater itu di Audotirium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pementasan teater itu yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut melibatkan seramai 110 pelakon yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah, pelajar universiti dan dewasa.

Sementara itu, seorang penonton, Roslina Zakaria, 48, berkata beliau teruja membawa anak-anak menonton pementasan teater bangsawan itu kerana mahu memberi pendedahan tentang kewujudan cerita bangsawan dalam sejarah Melayu.

Akhbar: 
MalaysiaKini
Publish date: 
Monday, December 14, 2015