Denda raja asal Jikey

Jikey salah satu daripada teater tradisional masyarakat Melayu yang sangat popular di Kedah dan Perlis, sekitar 1960-an. Ia juga popular di selatan Thailand dan dikenali sebagai Likey dan popular di Satun serta Phuket.

Persembahan Jikey turut dipengaruhi elemen kesenian yang terdapat dalam persembahan mak yong, hadrah, bangsawan dan Mek Mulung. 

Jurucakap Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Ilya Rusaidi berkata, sejarah permulaan Jikey tidak diketahui secara tepat, namun ada beberapa pendapat atau teori yang dikemukakan. 



“Pertamanya, Jikey dimulakan sekumpulan orang miskin yang memerlukan wang untuk kembali ke negeri asal mereka. Justeru, mereka terpaksa mengadakan permainan atau persembahan untuk mengumpulkan wang bagi keperluan perjalanan pulang.

Foto

PENAMPILAN penari turut diselitkan dalam persembahan.



“Selain itu, terdapat sekumpulan peniaga yang belayar menggunakan tongkang. Mereka tiba di sebuah kuala dan terus masuk ke pelabuhan yang terdapat pemeriksaan kastam.



“Oleh kerana tidak mempunyai surat kebenaran berniaga, mereka ditangkap dan dibawa mengadap raja negeri itu. Mereka mengaku salah dan kerana tidak mempunyai wang, mereka mohon simpati raja itu untuk bebas dari hukuman. 



“Raja memberikan nobat, gendang serta alat lain dan menyuruh mereka berlatih di kawasan penjara. Persembahan yang diberi nama Jikey ini memikat hati raja lalu mereka pun dibebaskan,” katanya. 



Ilya menambah, Jikey juga dikatakan berasal dari India. Keterangan ini adalah berdasarkan watak seorang India yang terdapat dalam setiap persembahan Jikey. 



“Sumber ini mengatakan terdapat seorang India yang berniaga di Tanah Melayu mahu pulang bersama isteri yang baru dikahwininya di sini serta barang perniagaannya. 



“Oleh sebab dia tidak membayar cukai, kapalnya dirampas pihak berkuasa manakala mereka suami isteri pula dipenjarakan. Untuk mendapatkan wang, raja negeri itu memerintahkan pasangan terbabit mencari dan membuat satu lakonan. 



“Ketiga-tiga keterangan atau teori di atas mempunyai motif sama iaitu bagaimana sekumpulan manusia terpaksa berlakon untuk mendapatkan wang,” katanya. 



Persembahan itu akan dijayakan Kumpulan Seni Tradisional Setia Jaya Kampung Nesam yang ditubuhkan sejak 1973 di Kampung Nesam, Bintong atau sekarang lebih dikenali sebagai Kampung Baru Syed Omar, Bintong, Perlis. 



Jikey berjudul Pengembaraan Putera Sadao ini mengisahkan Putera Sadao dari Kerajaan Sadao Bulu bersama-sama dua Awang Pengasuh, keluar istana untuk pergi mengembara mencari ilmu dan pengalaman untuk memerintah sesebuah negara. 



Dalam perjalanan mengembara itu, Putera Sadao bertemu dengan Tuan Puteri Yaala dari Kerajaan Setoi yang sedang bersukaria di taman bunga bersama inang-inang. 



Sedang leka Putera Sadao memerhatikan Tuan Puteri Yaala, Baginda ternampak tiga samseng datang mengganggu Tuan Puteri Yaala. Dengan semangat keberanian, baginda keluar membantu Tuan Puteri dan menewaskan samseng itu. 



Persembahan Jikey akan berlangsung di Auditorium JKKN, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 dan 13 September 2014 pada jam 8.30 malam. Tiket untuk menonton berharga RM50 untuk tempat duduk istimewa, RM20 untuk dewasa serta potongan 50% kepada pelajar, kanak-kanak, sahabat budaya serta warga emas. 



Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi Ilya di talian 03-2614 2857.

Author: 
Norhadiani Baharom
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, September 5, 2014