Demam boria 1Malaysia

KANAK-kanak antara kumpulan boria yang dipertandingkan dalam Boria 1Malaysia.


DENDANGAN senikata lagu boria seperti ‘Salam sejahtera kami ucapkan, kepada hadirin yang dimuliakan, kehebatan boria kita dengarkan, Boria Anak Tanjung mohon dendangkan’ pastinya menghiburkan.

 

Apatah lagi jika persembahan tersebut diserikan dengan beraneka ragam pakaian yang pelbagai warna serta gerak tarian yang telah diseragamkan bergantung kepada sesuatu irama seperti zapin, joget dan inang mengikut kreativiti sesebuah kumpulan.

 

Boria yang dimainkan oleh kumpulan tertentu, adakalanya tidak menggunakan skrip sebaliknya dijayakan secara spontan dan hanya berpandukan kepada senario yang telah ditetapkan.

 

Malah telatah serta kepekaan pelakon dan tukang karang di atas pentas pastinya mempersonakan para penonton lebih-lebih lagi jika mereka berjaya mematahkan cakap lawan sambil menggeletek hati penonton.

 

Jika dahulu tari boria selalunya berkait rapat dengan sketsa, kini ia semakin berkembang mengikut peredaran zaman di mana pada tahun 50-an dan 60-an boria pada masa itu banyak dipengaruhi dengan irama twist, agogo, Hindustan dan pop.

 

Tetapi kini persembahan boria semakin mantap dengan pengaruh irama yang lebih moden dan meluas seperti disko, rap dan hip hop semakin melular di kalangan sesetengah kumpulan boria.

 

Boria yang dahulunya hanya dikenali di bahagian utara tanah air terutamanya di Pulau Pinang kini telah dikenali di seluruh negara.

 

Buat mereka yang berminat untuk menyaksikan pertandingan akhir pertandingan Festival Boria 1Malaysia bolehlah mengunjungi Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang yang telah dipilih untuk menjadi lokasi utama acara tersebut hari ini (30 April), pukul 8.45 malam.

 

Tiga organisasi penting negara iaitu Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah berganding bahu menggunakan platform seni budaya sebagai asas kepada produk pelancongan negara.

 

Melihatkan kepentingan daripada keadaan tersebut serta mengambil kira aktiviti budaya yang boleh menyumbang kepada produk pelancongan kepada masyarakat tempatan mahupun luar negara, boria diangkat sebagai salah satu produk pelancongan utama.

 

Bagi tujuan tersebut, JKKN menyasarkan penglibatan sejumlah lebih 1,000 orang ‘sailor’ sahaja untuk memecahkan Malaysia Book of Records. Juga untuk memberi penjenamaan baru kepada imej boria dan menarik minat segenap lapisan masyarakat agar ia tidak lagi tercatit sebagai dokumen sejarah semata-mata.

 

Pertandingan boria itu diadakan mengikut tiga kategori iaitu kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun, remaja berusia 13 hingga 20 tahun dan terbuka.

 

Malah pertandingan itu turut diklasifikasikan kepada dua daerah iaitu bahagian pulau dan bahagian Seberang Perai.

 

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen akan turut memeriahkan majlis perasmian penutup serta penyampaian hadiah Festival Boria 1 Malaysia hari ini.

 

Selain itu, kedua-dua pemimpin tersebut bakal menobatkan Anugerah Tokoh Boria kepada kumpulan yang berjaya.

 

Setiap penyertaan akan melalui proses penghakiman di peringkat saringan oleh juri yang diiktiraf oleh JKKN.

 

Hadiah berbentuk wang tunai, piala dan sijil akan menjadi rebutan kepada ketiga-tiga kategori dan sekaligus menobatkan mereka sebagai Kumpulan Boria Terbaik di Malaysia.

 

Pemenang akan dinilai menerusi sketsa terbaik, susunan rangkap dan kostum terbaik.

 

Selain pertandingan Boria 1 Malaysia menjadi tumpuan utama, penganjur juga menyediakan pelbagai pameran agensi kerajaan dan swasta, demonstrasi permainan tradisional serta persembahan rakyat.

 

Maklumat pertandingan boleh dimuat turun melalui laman www.jkkn.gov.my atau www.kpkk.gov.my atau hubungi 04-2817791/7792 (JKKN Pulau Pinang).

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Saturday, April 30, 2011