Tarian

Tarian Hala

Tarian Hala popular di Negeri Kelantan dan dikaitkan dengan semangat sawah padi. Tarian ini diawasi oleh seorang pawang dan dipersembahkan di sawah padi dan dikepalai oleh seorang penari utama dan enam orang inang yang akan menari sebagai mewakili penduduk kampung.

Tujuan utama Tarian Hala adalah sebagai berterima kasih di atas hasil persawahan yang diperolehi oleh mereka. Sebab itulah tarian ini ditarikan selepas musim menuai.

Tarian Asli

Tarian Asli merupakan kumpulan tarian yang dicipta berasaskan lagu-lagu asli Melayu. Wujud daripada rentak dan irama lagu Dondang Sayang tetapi Tarian Asli tidak diiringi dengan adegan berbalas pantun seperti dalam Dondang Sayang.

Perkembangan seterusnya ialah kemunculan tarian-tarian asli yang dicipta daripada lagu-lagu seperti lagu Makan Sireh, Gunung Banang, Asli Sapu Tangan, Asli Selendang, Bentan Telani, Asli Abadi dan lain-lain lagi. Tarian Asli boleh didapati di seluruh Malaysia terutama Semenanjung Malaysia.

Tarian Asyik

Tarian Asyik merupakan satu tarian klasik (daerah) Kelantan dan dipersembahkan di istana (Raja-Raja Kelantan). Penari-penari terdiri daripada dayang-dayang istana. Selain itu Tarian Asyik ditarikan pada hari perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di istana. Hari ini Tarian Asyik dipersembahkan juga pada hari-hari temasya negeri dan negara.

Dari segi sejarah (Hikayat Patani), Raja Kuning iaitu Raja Perempuan yang memerintah Patani dalam tahun 1644 ada menyimpan 12 orang penari istana yang menyanyi dan menari dipanggil Asyik.

Tarian Ayam Didik

Ayam Didik menjadi masyhur di kalangan masyarakat terutama di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan bahagian utara Perak. Tarian Ayam Didik ini berasal daripada gerakan perlawanan melaga ayam iaitu satu permainan tradisional orang-orang Melayu dahulu.

Tarian ini telah dicipta oleh satu kumpulan penari di Kangar, Perlis. Adalah perlu tarian ini diiringi oleh lagu Ayam Didik.

Tarian Barongan

Barongan adalah kesenian yang berasal dari Jawa, menggambarkan kisah-kisah di zaman Nabi Allah Sulaiman dengan binatang-binatang yang boleh bercakap. Kononnya, seekor harimau telah terlihat seekor burung merak yang sedang mengembangkan ekornya. Apabila terpandang harimau, merak pun melompat di atas kepala harimau dan keduanya terus menari.

Wayang Kulit

Wayang kulit turut dikenali dengan nama wayang gedek, wayang melayu dan wayang purwo. Teater ini masih berpengaruh di Kelantan, Kedah, Johor dan Terengganu. Alat muzik yang mendominasi persembahannya ialah rebab, canang, gong, gendang dan kesi. Cerita yang dipersembahkan dalam wayang kulit merupakan adaptasi cerita-cerita epik Mahabrata dan Ramayana.

Perubahan zaman turut mempengaruhi jalan cerita yang disampaikan oleh dalang wayang kulit melalui dailog dan pergerakan patung.

Pages