Dan deklamator pun menangis!

Tengku.khalidah.utusan@gmail.com

Sejak di alam persekolahan, selain Pesta Pantun Kebangsaan, acara yang paling saya nantikan saban tahun ialah Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan.

Daripada Puzi Hadi,

sehingga juara terbarunya, Radzi Abdul Hamid, saya melihat sayembara ini telah memberikan banyak jasa dalam mendidik jiwa patriotik dalam diri setiap anak watan.

Pernah beberapa kali mewakili negeri kelahiran saya, Terengganu dan Kuala Lumpur (setelah saya berhijrah ke ibu kota), ia adalah satu acara seni yang berlangsung dalam seribu satu kekurangan, tetapi kami tidak pernah merasa kemiskinan.

Kami mara dan terus mara, kekal mencuba. Selagi belum muncul sebagai Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, perjuangan akan terus berlangsung kerana deklamasi puisi ada kemanisan yang sukar diungkap dengan kata-kata, meskipun barangkali kami hanya dibayar dengan sekeping sijil dan ungkapan 'terima kasih' sahaja.

Acara yang bermula sejak 1987 ini telah mencetuskan perasaan bangga, rasa patriotik, rasa sayangkan negara yang bukan alang kepalang dalam diri.

Melalui puisi-puisi berunsur kemerdekaan, kasih sayang akan negara yang diterjemahkan dalam puisi yang diambil daripada antologi Suara Anak Merdeka, Jamung Merdeka dan lain-lainnya, saya membesar dalam balutan rasa bangga sebagai anak Malaysia.

Puisi cikgu saya, Awang Abdullah yang berjudul Setiap Kali Mentari Ogos Menerjal Kulit bumi membuatkan saya mengenali dan menghafal dengan baik turutan tahun pemerintahan Perdana Menteri Malaysia.

Puisi Saadin Abdullah, Suara Anak Merdeka pula akan pasti meremangkan bulu roma setiap mereka yang mendengar bait puitis nan melankolis.

Juga puisi Raja Ali Haji yang membakar semangat juang bukan kepalang. Tidak mampu saya lupakan setiap bait puisi Keruang Katarsis karya Zaen Kasturi yang seolah sudah seperti darah dan daging, menyelimuti setiap ruang pemikiran dan saya mampu menghafal puisi panjang ini semenjak usia 12 tahun.

Demikian puisi membantu saya dan rakan-rakan lain mengenal diri, menginsafi kelebihan menjadi bangsa Malaysia dan menggali peribadi baik yang ada.

Sayang seribu kali sayang, baru-baru ini saya mendapat khabar acara yang 'gah' di kalangan orang sastera itu bakal terkubur. Acara yang dinaungi oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Gapena itu terpaksa dikafankan gara-gara tiada peruntukan untuk menampung kos anjurannya. Penganjur tak ada duit, maka Deklamasi Puisi Kebangsaan jadi korban.

Ketika seribu satu acara hiburan lain terus gah, dimasyhur dengan gemilang, kita akhirnya bakal merayakan berkuburnya satu acara seni yang maha penting. Acara seni yang menyampaikan desah manusiawi, perjuangan yang tidak pernah bertepi dan bangga yang tidak pernah mati.

Kalau hal ini benar-benar terjadi, saya pasti ramai deklamator tersohor negara akan menangis. Mematikan sayembara deklamasi puisi adalah satu kezaliman kepada mereka yang selama ini tidak pernah menuntut lebih.

Mungkin selama ini tidak ramai yang tahu bagaimana daifnya perjalanan sayembara puisi itu berlangsung, tetapi mereka tidak pernah mengeluh. Mereka menikmati sekadar apa adanya, tetapi apabila ia mahu dinoktahkan terus, ia sudah keterlaluan.

Soalnya, mana pergi pihak yang sepatutnya memartabatkan puisi?

Kalau Kumpulan Utusan tidak menganjurkan Malam Puisi Utusan dan Berita Harian tidak menganjurkan Puisi Riong, saya sangat pasti puisi tidak akan berdiri lagi, kerana ia tidak dimartabat oleh pihak yang wajar bertanggungjawab terhadap perkembangan dunia puisi itu sendiri.

Jika filem dan segala macam kegiatan seni lain diberi dana khas berjuta-juta ringgit setiap tahun, keterlaluan kalau dikatakan untuk memartabatkan puisi, 'satu sen' pun tak ada?

Apabila Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan dihentikan, tidak ada yang ke depan untuk berjuang meneruskan kelangsungannya. Barangkali kepada mereka, biarlah sayembara puisi mati, apa kami peduli? Puisi bukan boleh buat duit pun.

Pun, saya pasti bagi pejuang puisi yang sejati, mereka tidak akan mengalah. Sayembara Puisi Kebangsaan dibiar 'mati', tetapi mereka akan meneruskan perjuangan itu sendiri. Itu janji kami!

Salam istirehat di hari Ahad!

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Sunday, August 8, 2010