Cungkil bakat pelajar

Bakat seni 229 pelajar ber­usia 8 hingga 16 tahun yang dipi­lih menyertai program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan selama lapan bulan berjaya diserlahkan da­lam Festival Kelab Ke­seniaan Seni Cemerlang Kelantan di Kota Bharu, baru-baru ini.

Menurut Pengarah JKKN Kelantan, Kasim Mahmud, festival ini merupakan program graduasi kepada pelajar yang disaring melalui proses pemilihan berdasarkan kelayakan dan standard yang ditetapkan bagi mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Pada peringkat awal pencarian, 50 sekolah rendah dan menengah disenarai pendek tetapi hanya 12 yang layak dan menepati kriteria.

“Pelajar di sekolah terpilih, ke­mudiannya, dilatih membuat per­sembahan khas mengikut konsep persembahan yang ditetapkan merangkumi gabungan kesemua bidang yang telah dipelajari, dan keunikannya dijelmakan dalam setiap persembahan pelajar ini,” katanya.

Dalam festival itu, enam sekolah rendah dan enam menengah yang dipilh melalui program Bimbingan Seni Budaya anjuran JKKKN Kelantan mempersembahkan Teater Mu­zikal Malam Irama 60-an.

Di bawah program Bimbingan Seni Budaya itu, JKKN menghantar jurulatih yang diiktiraf ke sekolah yang terpilih untuk sesi pengajar­an dan pembelajaran dalam salah satu bidang yang ditawarkan iaitu seni tari, teater, silat, gasing, muzik tradisional dan seni berbahasa selama lapan bulan sejak April lalu.

Hanya pelajar yang benar-benar berbakat dalam bidang seni dipilih membuat persembahan pada festival tersebut yang dahulu dikenali sebagai Festival Kanak-Kanak.

Melalui bantuan 12 jurulatih seni budaya ini, pelajar mempamerkan bakat mereka dalam persembahan teater muzikal selama dua jam yang turut mengandungi segmen filem 60-an Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Festival ini merupakan kesi­nambungan program Bimbingan Seni Budaya yang memilih sekolah rendah (kumpulan Tunas Budaya), sekolah menengah (kumpulan Giat Budaya) dan Persatuan atau Kelab Seni Budaya iaitu Pusat Bimbingan Seni Budaya sebagai sekolah asuh­an di bawah program itu.

Selain dapat mencungkil bakat pelajar dalam bidang seni, pe­ngan­juran program ini juga membantu membentuk personaliti pelajar menjadi lebih cemerlang dan berketerampilan.

Hal ini kerana melalui persembahan seni tersebut, pelajar lebih berkeyakinan dan mampu menguasai komunikasi dengan lebih baik pada masa depan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/cungkil-bakat-pelajar-1.1613...

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Monday, November 23, 2015
Kemas kini terakhir: 17 July 2019, 05:20pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN