Citra budaya jalinan antara kaum

Persembahan Tarian Piring 1,000 sempena program Citra Budaya Adat Perpatih Negeri Sembilan di Seremban, baru-baru ini berjaya mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai peserta paling ramai bagi acara tarian.

SEREMBAN 21 Mac - Gagasan 1Malaysia menerusi seni budaya terus diperkukuhkan dalam persembahan Tarian Piring 1,000 di padang Majlis Perbandaran Seremban, di sini baru-baru ini.

 

Persembahan yang dijayakan menerusi program Citra Budaya Adat Perpatih Negeri Sembilan itu disertai oleh para pelajar pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, India, Sikh dan Orang Asli sekali gus mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai peserta paling ramai bagi acara tarian itu.

 

Meskipun berlainan bangsa, seramai 1,000 peserta tidak kekok menari tarian itu mengikut alunan rentak tari yang memerlukan mereka memegang dua biji piring pada tapak tangan masing-masing dalam persembahan selama empat minit itu.

 

Malah, setiap peserta mempamerkan kesungguhan yang padu bagi memastikan tarian yang berasal dari Sumatera Barat itu dipersembahkan sebaik yang mungkin.

 

Selain daripada tetamu di kalangan orang kenamaan, turut terpukau dengan persembahan tarian piring itu ialah kira-kira 3,000 orang yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan persembahan itu.

 

Walaupun tarian itu dikaitkan dengan orang Melayu, masyarakat Cina dan India turut mengerumuni pentas utama di padang itu untuk mendapatkan pemandangan yang lebih jelas warna warni tarian yang unik itu.

 

Kekaguman mereka terhadap persembahan itu menyebabkan masing-masing tidak berganjak sejak program bermula pada pukul 8.30 malam.

 

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam ucapannya pada majlis itu berkata, negara ini kaya dengan tradisi lama yang boleh dicungkil kembali dan jika dipersembahkan menerusi kegiatan seni budaya, mampu menguatkan jalinan antara kaum di semua peringkat.

 

Beliau berkata, menerusi program tersebut, ia bukan saja memelihara warisan seni budaya tetapi salah satu usaha kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat pelbagai kaum dan agama.

 

"Kita merasakan bahawa luak dan daerah adat dapat kita satukan dalam satu himpunan citra rasa ke arah tradisi kita. Kedua ialah bagi mencungkil perasaan cinta kepada budaya agar anak-anak kita terus memupuk perasaan yang sedemikian.

 

"Yang ketiga ialah bagi menyatukan gagasan 1Malaysia menerusi citra budaya," katanya.

 

Berucap pada majlis yang sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama untuk melaksanakan program kebudayaan yang boleh memperkasakan kualiti hidup rakyat di negeri ini khususnya dalam pembinaan insan madani bertunjangkan budaya bangsa.

 

Beliau turut menyerahkan plak Malaysia Book of Records (MBR) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf di atas kejayaan mengadakan persembahan tersebut.

 

Turut mengambil bahagian dalam program itu ialah Kumpulan Kesenian Aswara, Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan, Melaka, dan Perak serta Kumpulan Permanis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Kumpulan kesenian badan budaya dari Sumatera Barat dan Bukit Tinggi, Indonesia turut mengadakan persembahan pada program berkenaan.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, March 22, 2011