Buku ‘Adat The Legacy of Minangkabau’ Dilancarkan

 

IMG_4814

SEREMBAN, 09 NOV – “Adat The Legacy of Minangkabau” sebuah naskah hasil karya Penasihat Sosio-Budaya Kerajan Malaysia,  Dato’ Seri Utama Tan Sri Dr Rais  Yatim yang telah dihasilkan berdasarkan pengkajian, penemuan, pembacaan dan secara langsung kepada masyarakat dari Minangkabau.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan hadir bagi menyempurnakan majlis pelancaran buku yang mempunyai makna amat besar dalam kehidupan masyarakat Minangkabau, bertempat di Auditorium D’SURY, JKKN Negeri Sembilan, hari ini.

Mengambil masa selama tiga tahun untuk dibukukan, naskah ini didokumentasikan dengan isi kandungan 20 tajuk utama dari sejarah awal kewujudan Adat Perpatih, kemudiannya tiba di negeri ini dan diamalkan sehingga kini.

Naskah yang didokumentasikan dalam bahasa Inggeris ini bermatlamat awal untuk mendominasi pasaran pengkaji dari luar negara yang berminat terhadap kajian nusantara, begitu juga kepada pengkaji adat yang terdapat di negara ini sebelum ia dibukukan ke Bahasa Melayu, bahasa Kebangsaan.

IMG_4816

Dalam ucapannya, beliau Menteri Besar mengucapkan tahniah, penghargaan dan terima kasih di atas komitmen dan inisiatif Dato’ Seri Utama Tan Sri Dr Rais Yatim menghasilkan buku berkenaan adat yang boleh dijadikan sumber rujukan oleh generasi muda.

Kebanyakan generasi muda yang bernaung di bawah adat ini tidak jelas dan kurang memahami kerana ia diperturunkan secara lisan oleh pengamal adat. Namun demikian, kewujudan naskah ini ia akan memberi kefahaman yang jelas kepada mereka yang mewarisi adat ini, khususnya kepada mereka yang tidak memahami serta salah faham berkenaan dengan Adat Perpatih.

Beliau mewakili Kerajaan Negeri turut berhasrat mewakafkan 1,000 naskhah buku ini kepada universiti tempatan dalam negara untuk dijadikan sumber rujukan dan penyelidikan dalam usaha memberi kefahaman sebenar kepada generasi yang tidak memahami adat ini.

Katanya, Dato’ Seri Utama Tan Sri Dr Rais Yatim seumpama ‘buku Adat Perpatih bergerak’ dan beliau amat memahami susur galur dan penceritaan berkenaan adat unik yang diamalkan. Amat sayang pengetahuan yang ada padanya tidak didokumentasikan kerana ia adalah satu warisan bangsa yang hebat.

Di dalam arus pembangunan negeri ini, beliau berharap ia bergerak secara seiring dan saling lengkap melengkapi  di antara satu sama lain di mana adat terpelihara dan negeri ditadbir dengan baik.

Dalam meniti tamadun bangsa, beliau berharap agar anak-anak Negeri Sembilan menjadi warisan yang berbudi bahasa, mempunyai pekerti yang tinggi, menyantuni orang lain dengan kiasan bahasa adat, “Tinggi macam mano pun kito torbang, akhirnya kito jatuh ke bawah juo. Sekonyang-konyang banting, ghumput dimamah juo. Setinggi-tinggi kito molonting, jatuh eh ketanah juo.”

Menteri Besar turut menyeru Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, Tuan Abdul Razak Said mengambil inisiatif mengumpulkan Undang-Undang Luak yang sedikit berbeza di antara satu sama lain. Ia sebagai satu keperluan untuk difahami, namun begitu peradaban sistem Adat Perpatih adalah sama.

Author: 
Dudi Aziz
Akhbar: 
N9Kini
Publish date: 
Monday, November 9, 2015