BlackBerry tidak diharamkan

Rais Yatim (kiri) mempengerusikan mesyuarat bersama Pengurusan Tertinggi JPKK di pejabat kementerian itu di Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, semalam. – bernama

 

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa mengikut langkah Indonesia yang mungkin bertindak mengharamkan penggunaan telefon pintar BlackBerry.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bagaimanapun berkata, pihaknya sedia mengkaji semula perkara berkenaan sekiranya terdapat bukti menunjukkan penggunaan telefon berkenaan menimbulkan masalah keselamatan, budaya dan pentadbiran kepada negara.

 

Menurutnya, kajian yang dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini mengesahkan penggunaan BlackBerry tidak menimbulkan sebarang masalah seperti di Arab Saudi dan India.

 

“Setakat ini, saya tiada dimaklumkan tentang perlanggaran tersebut, jadi tidak wajar bagi kami mengatakan secara khusus apakah tindakan yang perlu diambil sedangkan kami tidak menerima sebarang laporan pun.

 

“Sekiranya ada rakyat negara ini yang mempunyai fakta tertentu, diharap mereka memaklumkan kepada kementerian dan kita akan cuba mendalaminya serta menyiasat di bawah undang-undang SKMM,” katanya di sini hari ini.

 

Rais berkata demikian pada sidang akhbar selepas bertemu pengarah-pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini.

 

Beliau mengulas kemungkinan penggunaan BlackBerry di Indonesia diharamkan berikutan kegagalan penyedia perkhidmatan telefon itu, Research In Motion (RIM) untuk menapis unsur pornografi daripada perkhidmatan Internet yang disediakan telefon berkenaan.

 

Dalam perkembangan berlainan, Rais meminta JKKN mengubah tanggapan masyarakat terhadap jabatan itu yang selama ini dikenali sebagai jabatan ‘pengurus peristiwa’ semata-mata.

 

Sebaliknya, beliau mahu JKKN lebih dikenali sebagai pencetus budaya yang boleh mencungkil bakat baru di setiap daerah dan negeri.

 

Selain itu, katanya, beliau mahu kira-kira 2,400 program seni budaya yang dikendalikan JKKN menampilkan beberapa projek yang mengandungi intisari pembudayaan Malaysia pada tahun ini.

 

“Ini penting kita tegaskan supaya gagasan 1Malaysia berjaya kita laksanakan bersama dengan membawa setiap lapisan kaum menterjemahkan jangkauan rakyat dalam program-program yang dilaksanakan


Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, January 11, 2011