Bangunkan program asuhan budi, adat Melayu

SEREMBAN 22 Jan. – Yayasan Warisan Negara akan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta Jabatan Kebudayaan dan Ke­se­nian Negara (JKKN) untuk membangunkan program asuhan budi dan adat orang Melayu dalam kalangan generasi muda.

 

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, program itu penting bagi melestarikan adat Melayu dalam kalangan anak muda selain menerapkan sifat budi yang menjadi teras kehidupan masyarakat.

 

“Ini sangat mustahak dilakukan demi masa depan orang Melayu dan negara kita se­bab Perkara 160 dalam Perlembagaan menganggap orang Melayu yang tidak ber­adat istiadat tidak lengkap kemelayuannya.

 

 

“Orang Melayu mesti melihat kepada perkara 160 dan tanggungjawab itu boleh disempurnakan dengan salah satu caranya ialah mengadakan kursus budi dan adat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sidang Seha­ri Adat Perpatih di Auditorium D'Sury, Ja­bat­an Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) di sini hari ini.

 

 

Menurut Rais, sistem pendidikan dalam negara kini tidak mengambil berat mengenai etika, adat dan budi hingga lama-kelamaan generasi dilahirkan tidak lagi berbudi.

 

“Jabatan belia harus memperuntukkan peluang untuk latihan adat seperti Program Latihan Khidmat Negara mesti me­ngandungi bab budi dan adat Melayu serta menghormati budaya pelbagai kaum,” ujar­nya.

 

 

Jelasnya, beliau akan cuba berunding dengan universiti tempatan dan pusat pengajian tinggi di nusantara untuk membawa isu membina semula masyarakat yang berbudi dan berbudaya.

 

Kolokium anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama JKKNNS, Yayasan Warisan Negara, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan itu memberi tumpuan kepada pelbagai unsur kebahasaan, kesusasteraan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang terkandung dalam Adat Perpatih.

 

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Friday, January 23, 2015
Kemas kini terakhir: 04 December 2019, 08:23pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN