Bagai festival tahunan di Venice

Hujan renyai malam itu bagaikan tidak dirasai dek keterujaan melihat keunikan topeng pelbagai bentuk.

Si pengguna topeng yang lengkap mengenakan kostum berwarna-warni sarat dengan aksesori dan menari mengikut alunan muzik rancak sehingga yang dimainkan menambahkan kemeriahan malam gala Festival Topeng Antarabangsa Malaysia 2015 di Esplanade, KLCC.

Kelihatan pengunjung pusat beli-belah Suria KLCC dan pelancong tidak melepaskan peluang merakam gambar pelbagai jenis topeng daripada 379 peserta mewakili lapan negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, China, Thailand, Filipina, Russia, Indonesia dan Sri Lanka.

Perarakan bertopeng bermula dari MaTiC di Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P Ramlee da berakhir di Suria KLCC menambah kemeriahan hari kedua festival yang julung kali diadakan di Malaysia ini juga tidak kurang hebatnya.

Pembabitan pengunjung dan pelancong yang bersahaja turut menari bersama mengikut rentak muzik yang dimainkan dan turut serta mengenakan topeng menjadikan suasana malam minggu di pusat bandar Kuala Lumpur itu cukup meriah.

Justeru, tidak keterlaluan jika penulis katakan kemeriahan dan warna-warni malam perarakan itu sempena Festival Topeng Antarabangsa Malaysia 2015 itu persis perayaan atau festival tahunan yang diadakan di Venice, Itali.

Perayaan atau festival topeng mungkin sesuatu yang cukup asing buat kita rakyat Malaysia, tetapi tidak di beberapa negara yang menjadikannya sebagai festival tahunan.

Antara contoh penganjuran Festival Topeng di dunia ialah The Masks of the Carnival of Venice (Itali), Mask at the Melanesian Festival (Australia), Massakara Festival Bacolod City ( Filipina), Japanese Mask Festival in Kamakura (Jepun) dan Andong Maskdance Festival (Korea Selatan)

Topeng digunakan oleh manusia untuk perlindungan, penyamaran, bahkan refleksi terhadap sesuatu apresiasi semasa persembahan dan hiburan sejak beberapa milenium lalu.

Ia juga wujud dalam banyak budaya masyarakat dunia dan masing-masing dengan identiti serta fungsi tersendiri. Dalam masyarakat Malaysia misalnya, terdapat juga seni bertopeng daripada etnik Orang Asli Mah Meri dari Pulau Carey, Selangor.

Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Malaysia International Mask Festival 2015 pada 13 hingga 16 Ogos di Esplanade, Kuala Lumpur City Center (KLCC).

Festival julung kali itu sebagai program sauh (signature event) yang mampu menarik pelancong dari seluruh dunia.

Festival Topeng Antarabangsa Malaysia 2015 (MIMF) ini menghimpunkan kesenian topeng dengan memfokus seni budaya topeng dalam pelbagai etnik yang ditonjolkan melalui persembahan kesenian, pameran dan demonstrasi.

Ia juga diadakan bertujuan memberi peluang dan ruang kepada rakyat Malaysia untuk menghayati keunikan seni budaya bertopeng serta falsafah yang terdapat di dalam pemakaiannya.

Penganjuran festival ini turut memberi peluang dan pendedahan kepada masyarakat Malaysia dan pelancong untuk lebih mengenali serta menghayati seni dan budaya bertopeng.

Ini dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya peringkat antarabangsa menerusi promosi budaya topeng dikalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Bertemakan ‘Masks - The Faces of Time’, festival yang diadakan selama empat hari itu menceritakan bagaimana kesenian bertopeng ini wujud di dalam pelbagai lapisan masyarakat di dunia sekali gus memberikan suasana festival apabila pengunjung boleh sama-sama menggayakan pelbagai bentuk topeng yang dapat menggambarkan ekspresi jiwa mereka.

Festival ini terbahagi kepada lima komponen pengisian utama iaitu persembahan, pameran, demonstrasi, pertandingan dan perarakan.

Dalam komponen persembahan pula terbahagi kepada tiga iaitu persembahan gala, persembahan negara dan persembahan sisipan (showcase).

Pameran pula membabitkan topeng dan kostum, manakala demonstrasi akan mengetengahkan aktiviti melukis dan mengukir topeng serta melukis wajah dan topi keledar.

Menambahkan keseronokan sekali gus sebagai langkah memperkenalkan festival ini dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong asing yang berkunjung ke Malaysia, persembahan sisipan turut dilakukan di beberapa tempat iaitu di NU Sentral, Central Market dan Plaza Sungei Wang. Persembahan sisipan membabitkan semua negara yang terbabit mengikut masa-masa yang ditetapkan.

Pertandingan mewarna dan melukis topeng kreatif secara talian turut diadakan bagi memeriahkan lagi festival yang julung kali diadakan ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 9:54 AM

SUASANA meriah di sekitar KLCC sempena MIMF 2015.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71753#sthash.qLl4YCUI.dpuf

Author: 
Suliati Asri
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Thursday, August 20, 2015