Anugerah terindah

BUKAN calang-calang pelakon yang mampu menjiwai empat watak sekali gus dalam satu pementasan, namun pejuang terkenal makyung, Rosnan Abdul Rahman mampu melakukannya dalam Monodrama Rebab Berbisik yang dipentaskan pada 2007, 2008, 2010 dan 2011. Pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Seni bina, Universiti Sains Malaysia ini juga melakonkan empat watak berbeza dalam pementasan arahan Rahimidin Zahari itu iaitu Pak Su (pak cik tua), Mek Ning (wanita sarat mengandung yang juga bekas primadona), Ustaz Azri dan Mimi (mak nyah).

Kerana keberkesanan watak dilakonkannya itu, nama Rosnan, 40, diangkat sebagai Aktor Terbaik (kategori teater) sempena Anugerah Seni Boh Cameronian 2012 kali ke-9 yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berjaya menewaskan empat lagi calon lain iaitu Zahiril Adzim (Short Eyes), Khairuadzwan Rodzy (Short Eyes) dan Charles Donnelly (Someone Who’ll Watch Over Me).

Secara peribadi, Rosnan mengakui ia pengiktirafan yang cukup bermakna dalam sejarah kariernya, sejak menghambakan diri dalam bidang seni persembahan, 15 tahun lalu.


“Sebenarnya, saya berasa diri kerdil sangat bila berada di majlis anugerah itu. Maklumlah, ia anugerah pertama yang mengiktiraf sumbangan sepanjang lebih sedekad dalam bidang seni persembahan.


“Sebelum majlis bermula, saya hanya duduk di satu sudut di majlis itu sambil minum teh dan ramai orang yang tidak kenal saya pun. Namun, apabila nama diumumkan menang, barulah orang tahu sayalah pejuang makyung yang disebut orang selama ini.

“Apapun, ia menyuntik semangat buat saya untuk terus mengangkat seni warisan tradisional makyung dan mencari pelapis dalam kalangan generasi muda hari ini,” katanya.

Ditanya kekuatan cerita itu hingga mengalahkan calon lain, kata Rosnan, walaupun ia teater moden, tetapi Monodrama Rebab Berbisik tetap menampilkan elemen tradisional makyung.

“Apa yang menarik, ia mengetengahkan cerita pejuang makyung dan kepentingan memulihara seni warisan zaman ini daripada pupus ditelan zaman. Selain berlakon, saya perlu menyanyi dan menari dalam pementasan ini,” katanya.

Terkini, Rosnan beraksi dalam persembahan teater tradisional makyung berjudul Puteri Jerijit Emas yang bakal berlangsung di UiTM Shah Alam jam 8.30 malam pada 12 dan 13 Mei ini (esok dan lusa). Menyusul selepas itu, mereka meneruskan jelajah di Amphitheatre Bangunan Umno, Pekan, Pahang pada 18 dan 19 Mei nanti.

“Saya menyeru kepada semua generasi muda di luar sana untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan makyung yang diiktiraf Unesco sebagai salah satu Warisan Dunia pada 25 November 2005.

“Pada masa sama, pihak kami juga ingin mencari barisan pelapis kerana saya kini satu-satunya pakyung lelaki yang meneruskan perjuangan mengangkat warisan makyung di negara ini.

“Persembahan ini menampilkan Kumpulan Kijang Emas, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan dan penampilan khas saya sebagai Raja Besar dalam pementasan arahan Ruhani Mohd Zin ini.

“Barisan pelakon lain yang terbabit ialah Nur Qul’Ain Saari (Puteri Jerijit Emas), Nor Bariah Salih (Raja Kesuma Jaya), Abd Muhaimin Abdullah (Peran Tua), Che Mohd Rasul Che Soh (Peran Muda), Siti Nur Fatihah Ariffin (Nenek Pendita), Mohd Faiz Adam Sakeri (Kucing Hutan), Nurdiana Abdullah ((inang), Liyana Mohd Noor (inang), Raja Nur Azmina Raja Azam (inang) dan ramai lagi,” katanya.

Tambah Rosnan yang juga Penolong Pengarah Kanan (Penyelidikan dan Pembangunan) di JKKN lagi, kumpulan makyung Kijang Mas sangat aktif mengadakan persembahan di dalam dan luar negara.

“Kumpulan yang lahir daripada Program Perantis Makyung Kelantan ini terdiri daripada artis budaya tari dan pemuzik profesional.

“Kepada yang berminat mereka boleh dapatkan pas di kaunter pintu masuk semasa hari persembahan. Persembahan ini mendapat penajaan daripada penaja utama, Jamu Mak Dara dan kerjasama UiTM Shah Alam, JKKN Selangor dan JKKN Pahang,” katanya.

Antara pementasan lakonan Rosnan yang mendapat sambutan ramai ialah makyung Anak Raja Dua Serupa (2010), Raja Besar Senyanyra (2009), teater Patung Kertas (2009 dan 2008), makyung Endeng Tajeli (2007), Dewa Indera Indera Dewa (2006), Konsert Melayu Asli (2006), Muzikal Suzana@60 (2006).

Selain itu, muzikal Puteri Hang Li Po (2004 dan 2005) arahan Rosminah Tahir, Bangsawan Puteri Salasiah (2002), Mak Yong Anak Raja Gondang (1998) dan Mak Yong Raja Bongsu Sakti (2000) arahan Profesor Dr. Mohamad Ghouse Nasarudin, As-Syura arahan Profesor Dr Samat Salleh (1997), Teater Pintu arahan Hilmi Md Noh (1995), teater Lari II arahan Roslee Mansor (1996).

Tidak ketinggalan, beliau juga mewakili Malaysia mengadakan persembahan makyung sempena Malaysia Week Festival di New York, Amerika Syarikat (2007), persembahan makyung di ibu pejabat Unesco di Paris, Perancis (2008) dan di Frankfurt Book Fair 2010 di Jerman.

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, May 11, 2012