Anugerah Seni Boh Iktiraf Lima Tokoh Seniman Legenda

Kuala Lumpur - Anugerah Seni Boh Cameronian kali ke-12 bulan depan bakal memberi penghormatan kepada lima tokoh seniman legenda yang menghidupkan industri seni era 1980-an termasuk Datuk Rahim Razali.

Empat yang lain ialah Datuk Faridah Merican, Datin Marion D'Cruz, Normah Nordin dan Chin San Sooi.

Presiden Persatuan Kakiseni, Low Ngai Yuen berkata, kelima-limanya merupakan tokoh yang memberi sumbangan besar dalam pembangunan seni khususnya dalam bidang tarian, lakonan, pengarahan, penulisan, nyanyian serta akademik.

"Mereka perlu dijadikan contoh kerana telah membuka jalan kepada industri seni persembahan untuk berkembang dan mendapat pengiktirafan dari negara luar," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis penamaan calon anugerah itu yang diadakan di sini baru-baru ini.

Menurut Low, bagi mengiktiraf sumbangan kelima-limanya, Boh akan mengeluarkan balang teh edisi terhad yang direka khas bagi menampilkan hasil kerja terbaik mereka pada tahun 1980-an.

Dalam perkembangan berkaitan, kata Low, Anugerah Seni Boh kali ini akan memperkenalkan kategori baharu dikenali sebagai bakat baharu selain empat kategori lain iaitu tarian, muzik, teater muzikal dan teater.

"Kategori bakat baharu itu mengiktiraf pencapaian pelajar dan guru di sekolah menengah dalam bidang seni selain individu berbakat dari pelbagai latar belakang," katanya.

Anugerah seni BOH Cameronian dianjurkan Persatuan Kakiseni dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan ditaja oleh Boh Plantations.

Malam kemuncak Anugerah Seni Boh ke-12 akan berlangsung pada 26 April di Sunway Pyramid yang bakal dihadiri artis popular tanah air.

Akhbar: 
Berita RTM
Publish date: 
Wednesday, March 25, 2015