Anggun, santun finalis berjaya pikat hati hadirin

Nurulein Mohd. Ramli, Nurul Atikah Abdul Rashid dan Dian Zanariah Resty Fauzee Rosli dengan hadiah kemenangan masing-masing ketika dinobatkan sebagai juara, tempat kedua dan ketiga PGJ 2010, baru-baru ini.

 

APABILA diumumkan tirai akhir Pencarian Gadis Johor (PGJ) dibuka oleh pengerusi majlis, tumpuan lebih 300 hadirin yang hadir pada Malam Gala Perdana itu terus terpaku ke tengah pentas.

 

Dalam hati berdebar-debar menanti kemunculan 10 peserta akhir program anjuran Utusan Malaysiadalam mencari gadis yang layak mewakili Johor untuk memperkenal adat budaya, termasuk warisan negeri, beraksi memperlihatkan penampilan anggun dan bergaya serta keintelektualan mereka.

 

Pantas, apabila nama peserta pertama diumumkan, suasana dewan menjadi semakin hangat. Hilang sudah rasa sejuk daripada penghawa dingin yang menemani hadirin sedari awal lagi.

 

Sorakan demi sorakan memeriahkan majlis. Tidak ketinggalan juga siulan nakal daripada hadirin yang cuba mengusik kesemua peserta yang tampil satu demi satu menggayakan busana indah.

 

Langkah setiap satunya diatur dengan penuh berhati-hati. Gemalai liuk lentuk tubuh dan sebaris senyuman yang terukir di bibir mungil mereka menjadi 'pertaruhan' awal sebelum sesi soal jawab menjengah.

 

Para peserta yang terdiri daripada Nur Atikah Md. Nor, 20, Nurulein Mohd. Ramli, 26, Saidatunal Natrah Khalid, 18, Nor Azila Tukiran, 27, Ayshah Abdul Rahman, 19, Nurul Atiqah Abd. Rashid, 18, Dian Zanariah Resty Fauzee Rosli, 24, Irna Suriani Zainal Abidin, 25, Nuranassuhada Mahzam, 22, dan Intan Nur Suhailly Rosli, 23, pasti merasakan malam bergemerlapan itu adalah penentu kepada segala usaha mereka.

 

Masakan tidak, sejak awal sesi temuduga PGJ pada 9 Januari di Hotel The Zone dan di Batu Pahat Mall pada 22 Januari, mereka ini terpaksa bekerja keras untuk bersaing dengan 50 peserta yang lain.

 

Biarpun begitu, dalam kelompok besar itu, seramai 20 peserta terbaik dipilih untuk bersaing di peringkat kedua dan selepas itu hanya sepuluh daripada mereka berjaya mara ke peringkat akhir.

 

Setelah sesi undian dibuka kepada orang ramai melalui akhbar dan laman sosial Facebookselama kira-kira tiga minggu, maka tanggal 20 Februari lalu menjadi titik tolak kepada 10 peserta terbaik kerana mereka perlu berentap sesama sendiri untuk menggondol gelaran Ikon Gadis Johor 2010.

 

Malah pemenang yang dinobatkan gelaran berkenaan bakal menerima wang tunai RM2,000, barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM2,500 dan tajaan pakej fotografi daripada Wafin Studio.

 

Saingan mereka bukan hanya tertumpu kepada Malam Gala Perdana sahaja, tetapi kesemua peserta perlu melaksanakan beberapa tugasan. Ini termasuk memasarkan akhbar Utusan Malaysia dan memasak makanan tradisi Johor iaitu Asam Pedas mengikut tempoh masa yang diberikan sebelum diberikan penilaian oleh para juri.

 

Itu antara rentetan dan coretan sedikit sebanyak perjalanan program PGJ dan kesemua finalisnya. Tatkala jam tepat pukul 11 malam, penolong arkitek, Nurulein Mohd. Ramli, 25, dinobatkan sebagai Ikon Gadis Johor sekali gus mengenepikan sembilan pencabar lain.

 

Sementara itu, naib johan pertandingan yang mendapat kerjasama daripada Majlis Kebudayaan Negeri Johor, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Johor serta Yayasan Warisan Johor menjadi milik Nurul Atikah Abdul Rashid, 18, manakala tempat ketiga dimenangi Dian Zanariah Resty Fauzee Rosli, 24.

 

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Asiah Md. Ariff yang mewakili Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

 

Turut hadir pada hari bersejarah itu ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Johor, Abdul Hamid Mohamad; Pengarah Yayasan Warisan Johor, Jama Johan dan Pengarang Utusan Malaysia, Hassan Mohd. Nor.

 

Asiah dalam ucapan perasmiannya berkata, PGJ berjaya mencungkil bakat gadis muda yang beridentitikan Pesona Johor sekali gus memperkenalkan budaya dan keunikan negeri ini.

 

"Keunikan Gadis Johor yang memerlukan ketajaman akal fikiran dalam mengetahui sesuatu isu seperti sejarah, warisan, masakan, budaya, pakaian dan tempat pelancongan menjadikan program ini lebih berprestij dan bermakna.

 

"Masyarakat melihat banyak program yang dianjurkan oleh media pada hari ini menampilkan gadis atau wanita sebagai watak utama. Golongan wanita diangkat martabatnya sebagai generasi yang boleh meneraju kepimpinan pada hari ini. Malah perkara sebegini berlaku sekali lagi dalam program ini apabila wanita dicerminkan sebagai idola anak muda hari ini," katanya.

 

Ujarnya, keayuan dan kesantunan budi bahasa gadis-gadis yang bertanding membuatkan program itu bakal menjadi ikutan.

 

" Saya juga berharap program sebegini sedikit sebanyak membantu mengangkat martabat kaum wanita untuk berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki," katanya

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Wednesday, April 13, 2011