Anak watan harus bersatu

KOTA BHARU 25 Sept. - Pergolakan dan kezaliman yang berlaku di Palestin khususnya di Gaza seharusnya memberi kesedaran bahawa kedaulatan sesebuah negara wajar dipertahankan anak watan sendiri dengan syarat mereka bersatu padu.

Penyair terkenal yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob berkata, bangsa Melayu khususnya perlu bersatu kerana dengan kesatuan itulah mereka dapat memastikan keharmonian bersama-sama bangsa lain untuk membina sebuah negara yang aman dan berjaya.

Beliau yang kini Naib Canselor Quest International University Perak (QUIP) berkata, hanya masyarakat yang hidup dalam negara aman dan bukannya tunggang-langgang dapat membantu golongan tertindas di tempat lain.

"Saya berharap masyarakat menyedari bahawa kita mesti menjaga negara dan rumah sendiri dahulu sebelum memikirkan masalah orang lain.

"Kita hanya boleh menyumbang kepada orang lain apabila 'rumah' kita dalam keadaan baik, sebab itu semua rakyat Malaysia mesti bersatu dan saling hormat-menghormati.

"Jika berlaku sesuatu seperti di Palestin, pihak pertama yang boleh membantu adalah diri kita sendiri. Kita yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan dan keamanan negara kerana pada saat kekacauan, orang lain tidak semestinya akan datang membantu kita," katanya.

Beliau ditemui dalam Malam Puisi Kelantan 'Bersama-sama Selamatkan Gaza' anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan dan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (Gema) di Auditorium JKKN Kelantan di sini baru-baru ini.

Program itu dirasmikan Pengarah JKKN Kelantan, Che Kassim Mahmud.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140926/wt_04/Anak-watan-harus-bersatu#ixzz3FVSx8TCb 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Friday, September 26, 2014