Adaptasi naskhah 4,000 tahun

Cerita rakyat Perancis, La Belle Et La Beta dipentaskan dalam bentuk bangsawan? Ia bukan perkara mustahil malah dibuktikan oleh warga kerja Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dari Grand Opera JKKN menerusi pementasan bangsawan Jelitawan dan Lelaki Haiwan, baru-baru ini.

Kisah daripada naskhah berusia hampir 4,000 tahun ini berjaya diadaptasi dengan baik oleh Rosnan Nordin, selaku penulis skrip dan pengarah, manakala barisan pelakonnya pula memberikan lakonan yang cemerlang.

Persiapan selama sebulan merangkumi aspek olahan skrip dan latihan ternyata berkesan.

Persembahan penutup tirai program Semarak Bangsawan 2016 ini amat menarik dan mendapat sambutan hebat daripada penonton pelbagai lapisan umur.

Rosnan menggunakan pengalaman luasnya dengan mengadunkan pelbagai rasa mengambil kira set pentas, karakter, kostum dan unsur kekaguman yang berjaya menggamit penonton untuk mengikuti jalan cerita dari awal hingga akhir persembahan.

Dia juga bijak menggubah lagu yang sesuai dengan naskhah ini agar kena dengan konsep bangsawan ditampilkan.

“Cabaran terbesar yang saya lalui adalah mengolah karya ini agar relevan dan kena dengan cita rasa penonton kita. Tambah lagi, ia kisah dongeng yang sering didengar sejak kecil.

“Oleh itu, saya perlu berhati-hati dan membaca buku ini 10 kali sebelum mula menulis skrip dan yang penting tak boleh lari dari cerita asal. Saya juga kena ambil masa lama menggubah lagu baru untuk persembahan.

“Teater muzikal ditambah lagi berkonsep bangsawan sememangnya cabaran berat. Unsur bangsawan tak boleh hilang. Bagaimanapun, saya beruntung elemen teknologi visual berjaya membantu mencorakkan persembahan agar lebih menarik,” katanya.

Katanya lagi, rasional La Belle Et La Beta dipilih kerana jalan ceritanya yang unik dan mampu memberi pelbagai emosi buat penonton.

“Sebagai pengkarya, saya cuba tampilkan sebuah cerita yang lain daripada karya yang ada dan ia perlu ada elemen mampu membuat penonton suka sehingga terus mengikutinya ke akhir persembahan.

“La Belle Et Beta mempunyai semua elemen ini merangkumi emosi sedih, saspens, takut dan gembira yang mampu membuai perasaan penonton.

“Teater ini hanya menampilkan pelakon terdiri daripada warga kerja JKKN sendiri tapi saya yakin dengan kemampuan mereka.

“Ternyata mereka membalas kepercayaan diberikan dengan menampilkan lakonan cemerlang,” katanya.

Menurutnya, proses mencari pelakon sendiri mengambil masa hampir setahun kerana dia terlebih dahulu mahu mengenali peribadi setiap pelakon dan kemudian barulah mengolah skrip mengikut kesesuaian mereka.

Bercakap mengenai karakter lelaki haiwan, Rosnan berkata, watak utama ini mempunyai konflik dalam emosinya yang turut menjadi nadi kepada perjalanan cerita.

“Ia menyentuh mengenai sifat baran lelaki yang disumpah namun akhirnya tewas dengan kelembutan seorang wanita yang akhirnya membuahkan rasa cinta. Setiap konflik dileraikan dalam keadaan yang cukup tenang atau dipanggil katarsis.

“Teater ini menampilkan 10 lagu baru dan peranan lagu sangat penting, terutama dalam menjentik emosi penonton agar sama-sama masuk dalam teater ini dan merasai apa yang berlaku,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 10:15 AM
Author: 
Ridzuan Abdul Rahman
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Thursday, November 17, 2016

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA