39 acara di Pesta Air Chenor 2016 meriah

Ab Ghafar (tengah) menyempurnakan perasmian PAC 2016 di Jeti Lama Chenor. - Foto Sinar Harian
 

MARAN - Pesta Air Chenor (PAC) 2016 meriah dengan pengisian 39 acara yang menarik kunjungan kira-kira 30,000 pengunjung di Jeti Lama Chenor selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Pesta yang diadakan sejak tahun 1993 namun tahun ini disifatkan paling meriah dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) buat kali ke-3 yang dulu dikenali sebagai Pesta Berakit Sungai Pahang.

Penganjuran pesta air ini menggamit kenangan generasi dahulu ketika mereka di alam kanak-kanak yang penuh dengan kegembiraan.

Acara tradisi seperti lumba rakit, panjat tiang licin dan pukul bantal dikekal serta diberi nafas baru sebagai identiti pesta tersebut.

Acara lain antaranya pertandingan gusti lengan, tarik tali, bola sepak berkain pelikat atas pasir, kayak, menjala, mencari etak, silat, masakan tradisional dan banyak lagi.

Larian Bukit Kertau buat julung kali diadakan dengan 70 peserta mengambil bahagian yang bakal dijadikan acara rekreasi berasaskan eco-challenge.

PAC 2016 dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) Datuk Ab Ghafar A Thambi.

Beliau berkata, pesta air merupakan medium terbaik mengimbau kembali tentang budaya masyarakat dahulu menjalani kehidupan yang mungkin asing bagi masyarakat sekarang terutama golongan muda.

Menurutnya, masyarakat di pinggir sungai dahulu menggunakan kepakaran mereka membuat rakit sebagai pengangkutan utama.

"Rakit juga digunakan untuk mencari rezeki seperti menjala, mencari kijeng, etak dan pucuk kayu sebagai makanan tambahan serta perubatan yang tumbuh meliar di tebingan sungai.

"Sungai menjadi tempat penduduk beriadah melalui permainan pukul bantal dan memanjat tiang licin,"katanya.

Beliau berkata, program bertemakan 'Pekan Budaya Warisan Sungai' berjaya menyemarakkan aktiviti seni budaya dan warisan di samping menjadikan Sungai Pahang sebagai aset pelancongan di negeri ini.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Samsudin berkata, PAC dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Negeri dan cukup berpotensi menjadi aset penting menarik kehadiran pelancong.

Menurutnya, PAC merupakan tarikan pelancongan berteraskan kebudayaan dan keindahan panorama sungai.

 
 
 
Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Saturday, May 14, 2016
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN