180 Peserta Sertai 'Mai Gasing Championship 2014' - JKKN

180 Peserta Sertai 'Mai Gasing Championship 2014' - JKKN

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Seramai 180 peserta terdiri daripada peminat gasing seluruh negara akan menyertai 'Mai Gasing Championship 2014' yang diadakan hujung minggu ini.

Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata acara tersebut berlangsung dari 19 hingga 21 Dis di dua lokasi berbeza.

"Pada 19 hingga 20 Dis, acara saringan akan dijalankan di Kompleks Sukan Kampung Pandan di ibu negara, manakala pusingan akhir pada 21 Dis bakal berlangsung di dalam kompleks beli-belah Klang Parade, di Klang," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi 1Malaysia yang disiarkan secara langsung di TV1, Selasa.

Katanya pertandingan dibuka kepada tiga kategori iaitu kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Amran berkata penganjuran di dalam kompleks membeli-belah itu bertujuan mendekatkan permainan tradisional berkenaan kepada orang ramai terutama generasi muda yang tinggal di bandar.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Gasing Malaysia, Abdul Hasim Katang berkata antara gasing yang akan diguna pada pertandingan tersebut adalah daripada jenis pangkah dan uri.

Katanya semua gasing itu bukan diperbuat daripada kayu, sebaliknya menggunakan polimer kerana ia murah dan mudah diperoleh.

-- BERNAMA

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Tuesday, December 16, 2014