10,416 tonton bangsawan

NORLIZA Rofli (tujuh dari kanan) bersama wakil-wakil kumpulan bangsawan yang akan mementaskan bangsawan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur sepanjang tahun ini.

 

BANGSAWAN merupakan salah satu seni persembahan pentas tradisional Melayu yang seolah-olah dilupakan oleh pihak penganjur termasuklah kalangan generasi muda hari ini.

 

Contohnya, cuma sebulan sekali pementasan bangsawan diadakan di Kuala Lumpur iaitu di Panggung Bandaraya anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

 

Meskipun bangsawan kurang dipentaskan namun JKKN boleh berbangga kerana inisiatif agensi kerajaan itu mendapat sambutan positif para penonton selepas ia dianjurkan sejak 2006.

 

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, menerusi program Semarak Bangsawan itu, tahun ini menyaksikan bilangan penonton seramai 10,416 sewaktu ia diadakan tahun lalu.

 

"Pada tahun 2006 sebanyak 27 pementasan telah diadakan di Panggung Bandaraya di mana keseluruhan penonton yang datang menyaksikannya cuma 2,694 orang sahaja.

 

"Jumlah itu semakin meningkat iaitu seramai 8,270 pada 2007, 9,321 (2009) dan 10,416 (2010). Jumlah tahun lalu menunjukkan peningkatan 386.4 peratus berbanding 2006.

 

"Sehubungan itu, kami jangkakan bilangan penonton akan bertambah pada tahun ini," katanya pada pelancaran Siri Semarak Bangsawan 2011 baru-baru ini.

 

Pada pelancaran program di Panggung Bandaraya yang mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu, beliau turut mengumumkan senarai pementasan di situ.

 

Antaranya pementasan bangsawan Tasik Dayang pada 22 hingga 24 April ini, Mestika Bumi (20 - 22 Mei), Alang Buana (10 - 12 Jun) dan Hikayat Malim Deman (23 - 25 September ini).

 

Jelas Norliza, bagi memastikan pementasan bangsawan tidak pupus, JKKN telah mengadakan pementasan secara berjadual dengan memberi sokongan kepada syarikat produksi terbabit.

 

"JKKN contohnya, telah pun mengenal pasti 10 kumpulan bangsawan seluruh negara bagi mementaskan bangsawan di Panggung Bandaraya sepanjang tahun ini.

 

"Secara keseluruhannya terdapat 10 pementasan bangsawan akan diadakan di panggung ini di mana JKKN akan memberi sokongan dan bantuan bagi menjayakan pementasan tersebut," ujarnya.

 

Beliau yang turut menyaksikan pementasan bangsawan Siti Zubaidah arahan Khusairy Mahyuddin turut mengumumkan 10 kumpulan bangsawan yang akan menjayakan program itu.

 

Antaranya ialah Persatuan Bangsawan Bintang Timur, Kumpulan Kreatif Utama Budaya Anak Seni, Persatuan Karyawan Negeri Sembilan dan Persatuan Anak Seni Pendidikan Kelantan.

 

Ekoran sambutan menggalakkan, persembahan bangsawan yang sebelum itu diadakan percuma, katanya terpaksa dikenakan bayaran RM5 bagi menyaksikan setiap pementasan tersebut.

 

"Peningkatan jumlah penonton memaksa JKKN mengenakan tiket RM5 kepada penonton bagi memastikan kualiti tempat dan persembahan pementasan ini dapat ditingkatkan," jelasnya.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Wednesday, April 20, 2011