‘Putaran kepala’ memukau

Bagai 'dirasuk' muzik rancak, aksi penari yang menyertai Pertandingan Battle Dance di Bazar Industri Kreatif di Dataran Merdeka sungguh mendebarkan dengan babak aksi terlebih berani mereka.

Antaranya, 'berdiri dengan tangan' (hand stand) hinggalah 'putaran kepala' (spinning head) memperlihatkan penari ini bukan sebarangan. Malah, mereka yang hadir berentap ketika itu antara penari Bboy terbaik dari seluruh negara.

 

Reaksi orang ramai pula seolah-olah 'terpaku' dengan persembahan dua kumpulan duo dan sedikit pun tidak terkesan dengan bahang panas petang di lokasi persembahan.

 

Pertandingan itu adalah penutupan kepada siri pertandingan yang berlangsung sejak Mac lalu sempena penganjuran perkampungan Bazar Kreatif oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Format kalah mati dengan dua pasukan dianggotai dua penari setiapnya perlu berentap sebelum mara ke peringkat akhir.

 

Penari Mohd Azmie Aziz, 19, menyifatkan persaingan kali ini lebih sengit berbanding penyertaan awalnya, hujung Mac lalu.

 

"Saya dimaklumkan pertandingan dianjurkan sejak Mac dan pemenang bagi setiap bulan dipilih untuk berentap di pusingan akhir. Jadi ini bermakna saya bertanding dalam kalangan penari terbaik.

"Faktor itu menyebabkan laluan untuk mara ke pusingan akhir lebih sengit, tetapi itu baik kerana mendorong untuk saya memberikan aksi terbaik dalam saringan kali ini," katanya.

 

Dia mewakili pasukan Juon berkata, kolaborasi baik dengan Bboy An atau Fasha Izhan memberi kelebihan untuk dia mara ke pusingan akhir.

 

"Berbekalkan pengalaman menari selama tiga tahun, platform pertandingan sebegini medan terbaik untuk menunjukkan skil kami. Bukan saja mewujudkan saingan sihat, malah kualiti penari juga diiktiraf.

"Pertandingan sebegini wajar dianjurkan pada masa akan datang bagi membolehkan kami penggiat seni tari jalanan dan seni tari lain terus berkembang," katanya.

 

Di tengah-tengah kelibat penari tempatan, ada penari luar mengambil kesempatan untuk memeriahkan pertandingan terbabit.

 

Penari berasal dari Aceh, Indonesia, Suryadi Azwani, 19, berkata, tarian jalanan berkenaan turut popular di negaranya.

 

"Tarian jalanan ini lebih kepada semangat bebas. Jadi tiada koreografi spesifik, sebaliknya perlu kreatif dan berjiwa ketika menari. Saya menari Bboy juga disebabkan minat.

 

"Kami mengisi masa dengan menari dan rasanya riadah ini lebih sihat berbanding membabitkan diri dengan kegiatan lain yang tidak sihat. Saya seronok berkongsi pengalaman bersama penari tempatan yang tidak kurang hebatnya. Ini merapatkan hubungan meskipun berbeza negara," katanya.

 

Sementara itu penari dari Giler Battle Crew, Mohd Sezaly Hasfli, 21, berkata, format pertandingan menentukan pasangan menerusi cabutan undi membuatkan pertandingan lebih adil.

 

Katanya, rezeki memihak padanya apabila abangnya, Mohd Ridzuan terpilih menjadi pasangannya untuk sesi akhir.

 

"Boleh dikatakan dalam pertandingan kali ini nasib saya baik apabila dapat bergandingan dengan abang sendiri. Kami memahami kekuatan masing-masing untuk 'tackle' pasukan lawan.

"Jadi tidak timbil masalah dari segi kesesuaian gaya saya mahupun dia kerana kami menari sebagai satu pasukan," katanya.

 

Mengenai gerakan yang mampu melumpuhkan kemaraan pasukan lawannya, Sezaly berkata, semuanya bergantung kepada muzik.

 

"Mengenai teknik atau gaya, tiada stail spesifik, sebaliknya muzik menentu arah tarian. Jika kena dengan muziknya, tarian saya boleh 'menjadi'," katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/19484#sthash.FxP0cXsr.dpuf

Author: 
Nurul Husna Mahmud
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Sunday, December 28, 2014