Singapura undang Rebab Berbisik

SESUDAH dipentaskan sebanyak 13 kali, bermula 2007 sehingga tahun lalu, akhirnya Rebab Berbisik, bakal menawan Singapura.

Teater yang menobatkan Rosnan Abdul Rahman, sebagai penerima ‘Best Actor In Leading Role Theatre’ di Boh Cameronian Arts Awards 2012, baru-baru ini, akan dipentaskan di Malay Heri?tage Centre Singapore, Istana Kampung Gelam, Singapura pada 20 hingga 22 September ini, jam 8 malam.

Undangan yang diterima daripada National Heritage Board (NHB) itu, ternyata satu penghormatan buat Rosnan selaku peneraju utama teater berkenaan apatah lagi kali pertama membuat persembahan di negara berkenaan.

“Buat pertama kali saya mengadakan persembahan di Singapura. Sangat terharu dan tidak sangka bakat saya dipandang penggiat seni dan peminat di Singapura.

“Program ini anjuran Malay Heritage Centre yang ber?naung di bawah NHB Singapore. Rebab Berbisik dijemput mengadakan per?sembahan selama tiga malam berturut-turut sempena program Malay Cultural Festival 2012 yang berlangsung sepanjang bulan September 2012.

“Saya difahamkan mereka memilih Rebab Berbisik selepas tertarik menyaksikan pementasannya di Istana Budaya (IB) pada April tahun lalu.

“Keberangkatan dan persembahan saya ke sana nanti, turut diiringi pemuzik tradisional dan artis tari IB. Termasuk saya, seramai 23 orang terbabit dan kami berangkat pada 17 September,” katanya ditemui di Balai Berita, Ahad lalu.

Rebab Berbisik, mengisah?kan kepiluan seorang tokoh makyung iaitu Paksu Mat yang dilupakan akan sumbangan dan pengorbanannya terhadap seni warisan bangsa. 

Tiada pewaris yang sanggup menerima dan menjadi penerus kepada kesenian ini termasuklah anak-anaknya sendiri iaitu Mimi dan Azri. Mimi dan Azri mempunyai latar peribadi yang berbeza. Kedua-dua mereka membawa haluan masing-masing.

Sebagaimana pernah ditonton pencinta teater di Malaysia, naskah Rebab Berbisik ini menggunakan dialek Kelantan justeru, untuk memudahkan penonton di Singapura memahami jalan ceritanya beberapa perubahan dilakukan.

“Saya juga akan berdialog sedikit dalam bahasa Inggeris untuk beberapa babak yang bersesuaian untuk memudahkan penonton faham.

“Persembahan kali ini mencabar buat saya kerana membuat persembahan secara berseora?ngan selama 75 minit atau satu jam 15 minit tanpa bantuan pelakon lain.

Saya kena mengingati setiap dialog saya dengan sempurna selain perlu mengekalkan stamina.

“Seperkara yang menarik, setiap kali selesai sesi pementasan Rebab Berbisik, penonton yang hadir terbuka untuk bertanyakan soalan kepada saya mengenai apa juga yang ingin mereka ketahui.

“Sebelum saya terlupa juga, tidak sekadar membuat persembahan saya turut terbabit dalam bengkel yang terhad kepada 20 peserta pada hari terakhir aktiviti iaitu pada 22 September nanti. Bengkel berkenaan diadakan jam 3 petang,” katanya.

Rosnan mengharapkan, melalui program ini akan dapat menjalinkan hubungan perkongsian budaya Melayu dan kesenian antara Malaysia serta Singapura di samping dapat memperkenalkan kesenian Malaysia di Singapura.

“Pemergian saya ke Singa?pura bukan satu persembahan bersifat peribadi sebaliknya membawa misi besar kerana sebagai seorang aktivis seni, saya turut membawa matlamat Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dan Istana Budaya yang me?nyokong padu kepermergian saya untuk memastikan kelangsungan seni budaya terus semarak di serata dunia,” katanya.

Bagi rakyat Singapura mahupun di Johor Bahru yang ingin menyaksikan pementasan Rebab Berbisik, tiket dijual pada kadar harga $30 (dewasa) dan $25 (pelajar dan warga emas).

Sekembalinya ke sini, aktivis seni berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, Universiti Sains Malaysia dan berasal dari Pokok Sena, ini akan mementaskan pula Rebab Berbisik di Auditorium DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) pada 29 September, jam 8.30 malam bersempena Festival Teater Malaysia 2012.

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Monday, September 17, 2012