Saksi opera Cina dan Jikey

Oleh: ROSHLAWATY RAIEH

Tarikh: September 16, 2012

Saat mendapat tahu pementasan opera Cina dipentaskan di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) baru-baru ini, penulis benar-benar teruja dan tidak sabar untuk menontonnya.

Bagi penulis, bukan senang menyaksikan opera Cina dipentaskan pada masyarakat luar. Ini kerana, pementasan sebegini hanya sering diadakan di tokong-tokong Cina untuk tujuan ibadat tertentu mengikut kepercayaan masyarakat Cina, malah ia juga sering kali diadakan dalam sesebuah komuniti Cina yang diadakan secara bergerak.

Dalam opera Cina, penceritaan berdasarkan kisah benar yang berlaku pada zaman silam. Kisah tentang pahlawan, puteri raja dan sebagainya. Setiap gaya solekan pula membawa maksud tertentu. Ada opera solekannya kelihatan agak garang, ada yang agak lembut dan ada ditatarias 'biasa-biasa' saja.

Setiap pelakon opera akan mengenakan pakaian tradisional bangsawan masyarakat Cina seperti dahulu kala. Disebabkan itulah pakaian mereka kelihatan sangat cantik, unik dan begitu berseni.

Mengenai pementasan teater opera Cina yang disaksikan penulis, ia dipersembahkan oleh kumpulan Totalmas - diasaskan sekitar tahun 1957, masih aktif sehingga ke hari ini.

Kumpulan dinamakan Persatuan Peminat Opera dan Muzikal Cina Totalmas Kuala Lumpur (Opera Cina Totalmas) dan presiden kumpulan, Tan Cho San (Frankie) menjadi tunjang utama menerajui semua aktiviti serta projek bagi memastikan kumpulan ini terus diterima ramai.

Pementasan opera memuatkan beberapa segmen pementasan. Antara tajuk-tajuk cerita yang dipentaskan ialah Sekatan BaiLong, Xiang Fei, Kisah Cinta Cheong Shang Dim, Hoong Luen Hei dan Pedang Tidak Berbelas Kasihan.

Antara pelakon terlibat, Frankie Tan-Maharaja, Brendda Ooi-Putera Raja, Ivy Lee-Puteri Raja, Debbie Tan-Dewi Kwan Yin, Kelly Tan dan Tan Jia Li - masing-masing memegang peranan Dayang Istana serta ramai lagi.

Peminat setia opera, Wan Mariam Wan Musa berkata, opera Cina begitu menarik untuk ditonton kerana banyak kesenian ada di dalamnya. Soal budaya dan citra masyarakat Cina mungkin tidak akan diketahui sekiranya tidak menonton opera tersebut.

Segalanya untuk masyarakat

Pementasan opera Cina merupakan antara yang terdapat dalam Siri Teater Tradisional Malaysia. Menyingkap latar belakangnya, program tersebut dianjurkan bersempena bulan Festival Kuala Lumpur yang diadakan pada Julai setiap tahun. Program bertujuan mengangkat martabat Siri Teater Tradisional agar tidak lupus ditelan dek zaman.

Objektif diadakan untuk mengangkat teater tradisional ke taraf kecemerlangan, di samping meningkatkan penghayatan dan kecintaan masyarakat terhadap teater tradisional. Ia juga satu usaha ke arah pemuliharaan dan pengekalan seni teater tradisional. Program ini diselia Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Selain opera Cina, turut diadakan pementasan wayang kulit dan jikey yang memang mendapat sambutan hebat.

Jikey menarik

"Apa itu jikey? Teater juga ke? Saya tak pernah dengar pun," kata seorang peminat wayang kulit kepada penulis.

Sebenarnya, jikey merupakan satu kesenian teater tradisional yang popular di Pulau Langkawi dan utara semenanjung sekitar 1960an. Ia juga popular di selatan Thailand dan dikenali sebagai likey serta popular di Satun dan Phuket.

Kesenian ini mempunyai persamaan dengan mak yong dan mek mulung, namun jikey lebih mendekati rakyat sebagai penceritaan utama.

Jikey menggabungkan unsur muzik, nyanyian, tari dan lakon. Jikey sebuah teater tradisional yang mempunyai ciri-ciri ‘folk’ dan teater ini hampir pupus.

Ia berbentuk teater sekeliling pada zaman dahulu yang berbentuk gelanggang. Gelanggang ini dibina di atas tanah kerana lebih mudah ditonton serta dilakonkan ceritanya, tetapi telah diubahsuai pada masa kini dan boleh dipentaskan di atas pentas moden.

Muzik jikey terdiri daripada muzik dan muzik mengiringi nyanyian. Alatan muzik biasanya terdiri violin, tiga rebana dan dua cerik (ketuk buluh).

Kumpulan yang terlibat dalam pementasan jikey adalah Kumpulan Kesenian Tradisional Malaysia Negeri Kedah. Pelakon yang terlibat antaranya Saipol Bahari Mohd Iman, Saiful Asri Md Jamil, Mohd Faiz Nawawi, Wan Suhaimi Wan Senu, Syed Fazlan Syed Abdul Malek, Veronica Xavier, Faranina Rohaimie dan ramai lagi memang cukup berbakat.

Walau ada yang baru pertama kali berlakon teater jikey, namun mereka berjaya menjiwai lakonan dengan cukup berkesan. Itulah menariknya pementasan jikey ini.

Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Sunday, September 16, 2012