Majlis Pelancaran Buku '60 Tahun Semaraknya Seni Budaya'

Seni dan kebudayaan menjadi pemangkin dalam mewujudkan masyarakat dan negara yang bertaraf tinggi serta menjadi manifestasi tamadun kehidupan sesebuah negara. Seni dan budaya turut berperanan sebagai pelengkap kepada kehidupan yang berkualiti.

 

Bertitik tolak daripada pembangunan seni budaya di Malaysia, Bahagian Kebudayaan pada tahun 1957 diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Penubuhan Bahagian Kebudayaan merupakan inisiatif kerajaan untuk memperkasakan seni budaya warisan bangsa, memelihara identiti kepelbagaian kaum, menjadi simbol sosialisasi serta mengukuhkan perpaduan negara.

 

‘Buku bergambar JKKN 60 Tahun Semaraknya Seni Budaya’, memaparkan tentang perkembangan kebudayaan bermula dari tahun 1957 hingga sekarang (2018) melalui program-program yang dilaksanakan oleh kementerian dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Pelbagai program dilaksanakan dan dijadikan landasan untuk membawa seni kepada masyarakat serta merangsang perkembangan seni budaya dan pengekalan warisan.

 

Buku ini turut menggambarkan tentang kejayaan seni budaya Malaysia melalui lembaran pencapaian mantan-mantan menteri, pegawai pengurusan tertinggi kementerian, pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan khususnya di Bahagian Kebudayaan pada era itu.

 

Bermula era 1953 Bahagian Hal Ehwal Kebudayaan ditubuhkan di bawah Kementerian Kebajikan Masyarakat, yang berperanan untuk menyelaraskan hal ehwal kebudayaan bagi mengisi kegiatan belia pada masa itu. Kemudian pada 1964 pula, Bahagian Kebudayaan diletakkan di Kementerian Penerangan dan Penyiaran. Tahun 1972 pula Bahagian Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KBS) dengan gelaran bahagian bertukar menjadi Bahagian Kebudayaan. Pada 1987, kerajaan menubuhkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan iaitu hasil gabungan Bahagian Kebudayaan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan Pelancongan Malaysia, iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Pada 1992, Kementerian ini kemudiannya diberi nama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sejajar dengan kepentingan peranan serta fungsinya pada masa itu. Pembentukan Kabinet baru oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 27 Mac 2004 telah meletakkan Bahagian Kebudayaan sebagai sebahagian daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA). Bermula pada tahun 2004 jugalah kertas cadangan penubuhan sebuah jabatan bagi kebudayaan telah diusahakan oleh Bahagian Kebudayaan untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. 22 Mac 2005 melalui Waran Perjawatan Bil. S/20, Bahagian Kebudayaan telah diluluskan untuk dinaik taraf menjadi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Kemudian, melalui Waran Perjawatan Bil. S40 yang bertarikh 1 Februari 2007 pula, pengwujudan satu lagi bahagian baru di JKKN iaitu Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Pembangunan yang bertujuan membolehkan JKKN berfungsi dengan lebih baik dalam urusan perancangan dan penyelidikan seni dan budaya. Menjelang 18 Mac 2008, JKKN dipindah naungan dan diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KPKKW). Pada April 2009, JKKN bernaung pula di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Selama empat tahun di bawah KPKK, pada 16 Mei 2013, JKKN menjadi satu agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sehingga sekarang.

 

Pelbagai usaha dan aktiviti dilaksanakan secara berterusan oleh kementerian bagi mengukuhkan peranan dan fungsi kementerian untuk memelihara serta menjulang nama negara. Untuk memastikan pembangunan seni budaya tanah air terus relevan, kementerian telah mengorak langkah perubahan demi perubahan sama ada dari segi visi, misi mahupun organisasi. Usaha memperkembangkan seni budaya oleh pentadbir-pentadbir budaya, tidak pernah bernoktah kerana pembangunan kebudayaan, kesenian dan pelancongan merupakan satu usaha yang berlanjutan dan berpanjangan. 

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA