KEUNIKAN 'BERBONDONG-BONDONG' NOBAT MELAKA JUARA KEBANGSAAN

Keunikan ‘Berbondong-bondong’ nobat Melaka juara kebangsaan

Melaka layak digelar `kecil-kecil cili padi'

September 5,2019 6:01 pm

 

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Siapa sangka keunikan tarian ‘Berbondong-bondong’ mencuri perhatian juri dan hadirin bagi kumpulan Lentera Budaya Sekolah Kebangsaan (SK) Lesung Batu sekali gus menobatkan Melaka bergelar juara kebangsaan.

Pertandingan Kejuaraan Tari Kanak-kanak Malaysia sempena Festival Tari Malaysia 2019 diadakan di Istana Budaya baru-baru ini menjadikan penari kanak-kanak mewakili Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSC) mengungguli Anugerah Emas daripada 14 negeri yang bertanding.

Menurut Koreografer kumpulan tersebut, Kamlzaman Mohd Saidi berkata, kejuaraan yang diungguli itu merupakan kejayaan besar kumpulan itu dalam mengharumkan nama Melaka di peringkat kebangsaan.

Jelasnya, istilah ‘Berbondong-bondong’ yang diolah di dalam tarian kanak-kanak itu bermaksud nilai bekerjasama yang diamalkan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi yang dipraktikkan di dalam kehidupan seharian.

“Melalui konsep tarian itu, nilai kerjasama masyarakat kita dahulu dalam hidup bagaikan aur dan tebing itu telah dijadikan amalan seharian.

“Seperti contoh, amalan yang pernah dilakukan di negeri ini dahulu, ramai masyarakat Melayu di dalam sesebuah kampung mengamalkan sikap bergotong-royong seperti mengalihkan rumah tradisional Melaka dari sebuah tapak hingga ke tapak rumah baharu.

“Mereka mengangkat struktur rumah itu secara beramai-ramai ke lokasi lain dan inilah konsep ‘berbondong-bondong yang ditunjukkan di dalam tarian itu.

“Alhamdulillah, usaha yang dikecapi selama ini bersama rakan setugas saya, Zainuddin Abdullah, yang mengambil masa sebulan bagi melatih kanak-kanak SK Lesung Batu ini dilihat membuahkan hasil.

“Semoga kejayaan yang dikeluarkan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka ini bakal mengekalkan tradisi dan adat Melayu yang semakin hilang ditelan zaman kepada generasi bahari kini,” katanya ketika dihubungi MelakaKini, hari ini.

Sementara itu, Guru Penyelaras Kumpulan Lentera Budaya sekolah terbabit, Hermayati Johar berkata, kejayaan yang dimiliki itu bukanlah mudah bagi mendapat gelaran juara pada festival itu.

Ujarnya, melalui pertandingan berlangsung selama dua hari itu, pertandingan itu akan melalui pada peringkat pertama iaitu di peringkat saringan dengan bertanding sebanyak 14 kumpulan mewakili negeri masing masing.

“Alhamdulillah, Melaka dicalonkan antara empat negeri ke peringkat seterusnya iaitu Peringkat Akhir dan mampu menewaskan negeri Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak.

“Kejayaan ini juga merupakan sokongan ibu bapa dan semua pihak sepanjang perjalanan kami lebih-lebih lagi mereka sanggup membenarkan anak-anak mereka berlatih pada hujung minggu di JKKN Melaka.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak dalam kejayaan ini dan kami bertekad akan memajukan kesenian adat tradisi ini agar ianya tidak hilang pada masa akan datang,” katanya.

Pada pertandingan itu, Melaka menggungguli tiga anugerah yang disampaikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Muhammad Bakhtiar Wan Chik disaksikan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Isham Ishak.

Antara anugerah yang diterima kumpulan itu termasuk Anugerah Emas(wang tunai RM3,000, sijil dan medal), Anugerah Koreografer Terbaik (wang tunai RM500, sijil dan medal) dan Anugerah Busana dan Tatarias Terbaik (wang tunai RM500, sijil dan medal).

https://melakakini.my/keunikan-berbondong-bondong-nobat-melaka-juara-kebangsaan/#.XXDeAzduESs.whatsapp

Akhbar: 
Melaka Kini
Publish date: 
Thursday, September 5, 2019

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA