JKKN Jalankan 111 Daripada 156 Program Sasaran KPI

KOTA KINABALU, 4 Sept (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah melaksanakan 111 daripada 156 program yang disasarkan di bawah Indeks Prestasi Utama (KPI) jabatan itu, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Norliza Rofli.

Beliau berkata antara program yang dijalankan itu ialah bimbingan budaya dan seni peringkat sekolah bagi mendekatkan kanak-kanak kepada seni dan budaya negara.

"Di bulan November ini, JKKN akan menganjurkan festival kesenian kanak-kanak sebagai persediaan mencari bakat kalangan anak muda dalam kebudayaan dan kesenian," katanya pada majlis ramah mesra Aidilfitri JKKN di sini pada Selasa.

Norliza berkata Sabah menjadi antara negeri paling aktif menjalankan program kebudayaan dan kesenian termasuk 13 program besar di Kompleks JKKN Sabah yang dirasmikan pada 31 Mac lepas.

-- BERNAMA

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Tuesday, September 4, 2012