Ikon generasi muda

oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

 

SAMBUTAN ulang tahun kemerdekaan yang ke-55, Jumaat lalu, cukup bermakna buat penyanyi dan pemuzik berbakat besar, Yunalis Zarai (Yuna), 25, apabila dipilih sebagai salah seorang daripada lapan penerima Anugerah Ikon Generasi Muda Kategori Seni daripada kerajaan Malaysia.

 

Penyerahan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan 55 Merdeka: Janji Ditepati, disaksikan lebih 50,000 rakyat Malaysia. Anugerah itu ternyata membuatkan gadis mesra disapa Yuna itu merasakan anugerah yang diterimanya itu sedikit berbeza berbanding anugerah yang pernah dimenanginya.

 

“Gelaran Ikon Anak Seni itu saja sudah cukup besar ertinya buat saya dan terus terang tidak pernah terfikir pun akan menerima pengiktirafan seperti itu.

“Apatah lagi, menerima anugerah berkenaan daripada tangan Perdana Menteri sendiri pada acara penting, Sambutan Kemerdekaan ke-55, disaksikan puluhan ribu rakyat Malaysia. Ia satu penghormatan dan pengalaman luar biasa buat saya, sekali gus menjadikan anugerah itu cukup istimewa.

“Saya cuma seorang pemuzik, saya menceburinya kerana minat. Saya tidak pernah fikir muzik saya memberikan impak yang besar kepada masyarakat dan negara.

“Kini saya sedar, saya harus berusaha lebih gigih dan berharap peluang melebarkan sayap ke Amerika Syarikat menjadi titik permulaan kepada penggiat seni untuk mencipta nama di peringkat lebih tinggi seperti dibuktikan artis dari negara Asia lain iaitu Korea dan Jepun.

 

“Saya yakin di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Perlu ada keberanian dan kerja keras. Pada masa sama haruslah sedar asal usul dan sentiasa memupuk perasaan cintakan negara kerana apabila kita melakukan sesuatu bukan untuk kepentingan diri sendiri, ia memacu kerjaya lebih jauh,” katanya.

Pemilihan Yuna sebagai penerima anugerah yang turut membabitkan kategori bidang sukan, orang kelainan upaya, generasi muda/belia dan pencapaian cemerlang sepanjang zaman itu dinilai berdasarkan pencapaian muziknya yang kini menembusi pasaran Amerika Syarikat selepas tiga tahun bergelar penyanyi dan pemuzik.

Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David adalah penerima kategori sukan manakala penerima anugerah generasi muda kategori belia, Muhammad Zhariff Afandi, 29.

Penerima anugerah pencapaian cemerlang sepanjang zaman pula diberikan kepada bekas pemain bola sepak, Wong Chye Fook@James Alan Wong (Sabah), Tan Sri Dr Wong Soon Kai (Sarawak) dan Profesor Datuk Dr Asmah Omar (Semenanjung).

Selain hadir untuk menerima anugerah berkenaan, Yuna, turut membuat persembahan pada acara berprestij itu dengan menyampaikan rangkaian lagu seperti Terukir Di Bintang, Dan Sebenarnya serta Live Your Life.

Selain Yuna, penonton turut dihiburkan menerusi nyanyian Ratu Rock, Ella, menerusi lagu Standing In The Eyes dan Layar Impian, Faizal Tahir (Go Malaysia Go, Gemuruh dan Selamat Malam), Hafiz (Awan Nano), Stacy (Jahat), Suki (Kasanova/Pelangi Senja), Terlalu Mencintaimu/Berdiri), Nash (Debunga Wangi) dan Ezad Lazim (Mengintai Dari Tirai Kamar).

Turut memeriahkan segmen persembahan pada acara yang dikendalikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu ialah juara Malaysia Idol 2, Daniel Lee dan Shruthi.

Peranan JKKN pada malam itu tidak terbatas pada segmen persembahan saja, tetapi juga dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan dua lagi aktiviti iaitu Perarakan dan Perbarisan Merdeka di Dataran Merdeka pada sebelah pagi hari yang sama. Terdahulu pada 13 Julai, Pelancaran Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 dilaksanakan.

Perhimpunan 55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati disertai 8,500 peserta manakala Perarakan dan Perbarisan di Dataran Merdeka pula menghimpunkan 13,500 peserta.

Sebahagian daripada mereka adalah artis kebudayaan di bawah JKKN iaitu 14 JKKN negeri mengambil bahagian berserta 200 pegawainya yang berdedikasi turun padang.

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Tuesday, September 4, 2012