Hidupkan teater di Kuala Lumpur

Pada era tahun 1980-an hingga pertengahan 1990-an, Auditorium DBKL, Balai Budaya DBP, Pusat Seni Jalan Bandar, Panggung Eksperimen Universiti Malaya dan Matic di Jalan Ampang antara lokasi popular menonton teater. Di tempat-tempat ini dipentaskan karya-karya besar dan dilakonkan oleh pelakon hebat. Inilah warna gemilang teater Kuala Lumpur yang sebenarnya.

 

Tujuan memperkatakan tentang tempat-tempat pementasan teater di Kuala Lumpur pada awal 1980-an hingga pertengahan 1990-an adalah untuk memberitahu sebelum ada Istana Budaya, teater telah subur di Kuala Lumpur.

 

Pementasan teater silih berganti antara tempat-tempat ini dan peminat secara puratanya boleh menonton dua teater sebulan sama ada berskala kecil atau besar. Sementara DBKL, DBP selain Jabatan Kebudayaan Belia dan Sukan (JKBS) mempunyai peruntukan untuk pembangunan teater. Tetapi tidaklah sampai membayar seorang pelakon beribu ringgit.

 

Tetapi sekarang tempat-tempat ini sudah sunyi sepi dari pementasan teater. Teater seolah-olah mengalih haluan ke Istana Budaya. Tetapi ini tidak benar. Yang bergiat di Istana Budaya bukan aktivis yang berselerak di Kuala Lumpur, mereka hanya kenal Istana Budaya. Khalayak juga bukan yang kenal teater di Kuala Lumpur, mereka hanya kenal teater di Istana Budaya. Di mana aktivis dan khayalak yang dulu?

 

Kini teater di Kuala Lumpur telah mati. Aktivis teater banyak menghilangkan diri dari dunia pentas. Salah satu yang mematikan teater yang berselerak di Kuala Lumpur adalah usaha membawa artis popular ke dunia pentas.

 

Teater-teater besar zaman dulu tidak ada artis, yang ada adalah pelakon teater yang terpaksa melalui perih jerih. M. Nasir yang turut berlakon dalam Wira Bukit bukanlah artis, dia adalah pelakon teater.

 

Begitu juga penglibatan Wan Maimunah Aziz dan Jalil Hamid dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman bukan atas tiket artis. Kedua-dua tidak memegang pasport artis ketika itu. Malah yang penting pemilihan mereka bukan untuk mengumpan penonton tetapi kerana kemampuan berlakon.

 

Untuk menghidupkan teater di Kuala Lumpur, kegemilangan lalu mesti dikembalikan. Biarlah Istana Budaya dengan bentuk produksi dan khalayaknya. DBKL dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) misalnya perlu mengambil tindakan proaktif untuk menghidupkan teater di Kuala Lumpur.

 

JKKN barangkali boleh memanfaatkan dana industri kreatif yang dijaja berjuta-juta ringgit itu. Jaja saja tidak ada makna kalau tidak dizahirkan. Buktikan dana itu untuk pembangunan bidang kreatif bukan retorik memikat rakyat.

 

Kumpulkan kembali aktivis-aktivis teater yang kecewa dengan birokrat budaya yang tidak mengendahkan mereka. Aktivis teater boleh hidup tanpa teater tetapi teater di Kuala Lumpur akan terus mati tanpa mereka. Fikirkan.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Monday, February 27, 2012