1,547 aktiviti seni budaya

SEBANYAK 1,547 aktiviti Seni Budaya kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan dilaksanakan tahun ini dan pengumumannya diadakan pada hari ini, di Restoran Songket, Jalan Yap Kwan Seng, dalam satu sidang media dinamakan Serlahan Seni JKKN Highlight 2012.

 

Bersesuaian dengan visi JKKN untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudaya berteraskan gagasan 1Malaysia, usaha ke arah itu giat dilaksanakan sejak JKKN mula ditubuhkan secara rasmi pada 22 Mac 2005.

 

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli, berkata, sebanyak 1,547 aktiviti berkenaan merangkumi tujuh aktiviti teras JKKN seperti Program Merakyatkan Seni Budaya, Program Bimbingan Seni Budaya, Penyemarakan, Pengukuhan dan Kecemerlangan Seni, Program Keilmuan & Penerbitan, Pencungkilan Bakat, Penyelidikan Dan Pemuliharaan dan Program Industri Kreatif.

“1547 aktiviti itu mensasarkan 40% penduduk bandar manakala 60% lagi bagi penduduk luar bandar. Selain itu program seni budaya pada tahun ini memberi fokus utama kepada rakyat dan pembangunan seni budaya, latihan dan keilmuan kepada penggiat seni budaya selain menyediakan persekitaran kondusif kepada penggiat seni budaya mengikut bidang,” katanya.

Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) dilihat mampu menjadi pemangkin kepada industri seni budaya di peringkat luar bandar agar mereka tidak terpinggir daripada arus pemodenan. Tahun ini 136 PMS dirancang secara menyeluruh di seluruh negara.

Idea dalam merencana program PMS diinspirasi oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim selaku yang didasari atas fakta untuk memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya negara, di samping memupuk semangat kerjasama ke arah meningkatkan toleransi, keharmonian dan perpaduan selaras dengan pengukuhan jatidiri bangsa Malaysia.

Manakala program berteraskan Pembangunan Modal Insan/Kelab Asuhan Seni seperti Kelab Asuhan Seni, Kelab Tunas Budaya (KTB), Kelab Giat Budaya (KGB), Bimbingan Seni Budaya Rakyat (BSBR), Kelab Siswa Budaya (KSB), Sekolah Seni, Jurulatih Seni Budaya Negara dan Program PERMATA Seni Koir dan Tari juga turut menjadi keutamaan kepada JKKN.

Sebanyak 989 aktiviti dirancang tahun ini dan sehingga 2012, seramai 27,410 orang akan dilatih di seluruh negara dalam pelbagai cabang seni melalui Kelab Asuhan Seni, Kelab Tunas Budaya (KTB), Kelab Giat Budaya (KGB), Bimbingan Seni Budaya Rakyat (BSBR), Kelab Siswa Budaya (KSB), Sekolah Seni, Jurulatih Seni Budaya Negara dan Program Permata Seni Koir dan Tari.

Sejak dilaksanakan pada 2002, jumlah anak-anak serta komuniti seni budaya yang dilatih menerusi program ini mencapai 138,956 orang.

Sementara itu, program Penyemarakan, Pengukuhan dan Kecemerlangan Seni akan meliputi acara seperti Festival Teater Malaysia, Inspitari, Festival Kuala Lumpur ke-7, Festival Muzik Kuala Lumpur 2012, Siri Semarak Bangsawan dan Siri Teater Tradisional.

Semua acara ini kembali mewarnai landskap seni budaya Malaysia pada tahun ini atas permintaan yang menggalakkan daripada peminat seni. Di samping itu, pengenalan program baru seperti Festival Ramadan, Ekspo Industri Seni Budaya Badan Bukan Kerajaan, Eksplorasi Makyung (Siri Jelajah Kijang Emas) yang akan menjadi titik tolak kepada pembaharuan yang dilakukan.

Pengisiannya menjurus kepada suasana baru dalam seni budaya dan bukan sekadar penjenamaan semata-mata. Misalnya aktiviti seperti berzanji, marhaban, nasyid bahkan program mengimarahkan masjid (meramaikan) sempena bulan Ramadan sudah lama menjadi tradisi dan budaya masyarakat beragama Islam di negara kita.

“Mengambil pendekatan ini, JKKN tampil dengan inisiatif melaksanakan Festival Ramadan yang akan mendekati pembudayaan dan tradisi Islam dalam menyambut bulan mulia dengan kerjasama media massa, korporat, komuniti dan pihak berkuasa tempatan,” kata Norliza.

Manakala Eksplorasi Makyung pula akan menjadi satu program bersifat pendidikan dan pendekatan kepada generasi muda dan masyarakat seluruh negara bagi membantu mereka memahami dan menyanjung warisan seni budaya khususnya makyung.

Program Inspitari yang bermula sejak 2010 juga kembali mewarnai dunia tari khususnya dalam usaha menggarap daya cipta dan kreativiti yang ditampilkan dalam simbolik persembahan tarian ciptaan baru berasaskan imej dan identiti setiap negeri di Malaysia.

Selain itu juga, Festival Kuala Lumpur yang masuk tahun ketujuh dan kelapan untuk Festival Muzik Kuala Lumpur (FMKL) akan menyajikan persembahan hebat yang belum pernah dilaksanakan lagi sebelum ini.

“Ini cuma sebahagian kecil program utama kami. Usaha yang dilakukan tidak lain tidak bukan untuk memartabatkan seni,” katanya.

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Tuesday, February 21, 2012