10 sukan tradisional sudah pupus

10 sukan tradisional sudah pupus

LEBIH separuh abad lalu, permainan klasik seperti Kaki Hantu, Ketinting, Tuju Getah dan Tuju Tin menjadi sebahagian daripada aktiviti kanak-kanak dan ia begitu menyeronokkan.

Namun, zaman semakin berubah dan permainan ‘wajib’ itu menjadi antara 10 sukan tradisional yang sudah ‘pupus’ dek kemajuan teknologi serta penggunaan gajet canggih sebagai ganti.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Wilayah Persekutuan Mohd Amran Haris berkata, permainan terbabit kini hanya boleh dilihat di festival tertentu atau program khas walaupun mempunyai tempat begitu istimewa di hati kanak-kanak sejak dulu lagi.

Katanya, atas kesedaran itu, pihaknya menerusi kerjasama antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan Festival Permainan Malaysia (FPM) sebagai usaha menyemarak dan mengangkat kembali keunikan kesenian serta warisan tradisi menerusi permainan tradisional.

Menurutnya, bukan saja bersukan, ia juga menjadi platform membina perpaduan, setiakawan, keharmonian, sikap bertolak-ansur dan rasa hormat antara satu dengan yang lain walaupun berbilang kaum.

“Sekarang ini bukan saja main Ketinting, Tuju Selipar atau lain-lain, kita sebut saja pada anak-anak pun mereka tak tahu. Zaman sudah berubah, namun kita perlu mengambil tanggungjawab memelihara tradisi ini menerusi pelbagai acara yang boleh kita susun.

“Benar sukan menyatukan semua dan itu sudah terbukti sejak puluhan tahun lalu. Jadi kita bawa kembali semangat itu di dalam FPM supaya masyarakat khususnya orang muda tahu betapa tingginya nilai hidup bermasyarakat seperti yang pernah dipraktikkan pada zaman dulu,” katanya kepada Harian Metro.

Sebanyak 21 permainan diangkat sebagai warisan kebangsaan seperti Congkak, Sepak Raga Ratus, Galah Panjang, Tarik Tali, Batu Seremban dan Dam Aji dipertandingkan pada FPM yang bermula sejak Sabtu lalu dan berakhir hari ini di Dataran Merdeka.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran festival berkenaan dan ia membentuk kesatuan dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Dari segi sambutan lebih baik daripada tahun lalu dan ini menunjukkan masyarakat kita walaupun berbilang bangsa dapat bersatu padu menerusi program seperti ini dan kementerian memberi sokongan kepada semua pihak untuk menjayakannya,” katanya.

https://www.hmetro.com.my/utama/2019/09/497299/10-sukan-tradisional-sudah-pupus

Author: 
Yusmizal Dolah Aling
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Monday, September 16, 2019

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA